KABONG: Kegiatan seorang lelaki mencuri kabel di Loji Simpanan Air Kabong terbongkar selepas dia ditahan polis ketika dipercayai sedang meleraikan kulit kabel hasil curian di belakang rumahnya, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 28 tahun dan yang tidak bekerja itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) diketuai Inspektor Henry Muji, semalam.
Menurutnya, kes terbongkar selepas pengadu berusia 44 tahun yang melakukan rondaan di loji berkenaan sekitar tarikh sama, menemui kulit kabel di jalan masuk ke loji.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suis utama di dalam loji telah dikopek, manakala kabel berperisai untuk pam air turut dicuri,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil tindakan pantas polis, suspek berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kabong. Ketika serbuan, suspek dipercayai sedang meleraikan kulit kabel yang dicuri dari Loji Simpanan Air berkenaan.
Polis turut merampas dua batang kabel berperisai masing-masing sepanjang 6.4 meter dan 4.7 meter serta seunit pemotong wayar berwarna merah.
Siasatan mendapati suspek mengaku pergi ke lokasi kejadian sebanyak dua kali, iaitu pada 16 dan 18 Ogos lalu, seorang diri.
“Pada kunjungan pertama, suspek dipercayai memasuki kawasan loji melalui pintu pagar yang telah dirobohkan di bahagian belakang sebelum memotong beberapa wayar pada suis utama dan bilik genset menggunakan pemotong wayar.
“Suspek turut mengaku membuka suis utama di bilik pam air bagi mendapatkan kabel yang disambungkan kepada suis tersebut sebelum membawa kabel yang dipotong ke rumahnya di Kabong.
“Lebih mengejutkan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah,” katanya.
Ujian saringan air kencing suspek didapati positif amphetamine (AMPT) dan methamphetamine (MEPTH).
Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah, masing-masing pada 2020, 2024 dan 2025, dan telah dijatuhi hukuman bagi kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. Oleh Adi Safarman



