JIUJIANG: Banjir terburuk sejak sedekad lalu di kawasan Sungai Yangtze di China menyebabkan tembok penahan banjir runtuh akibat arus deras dan kawasan kediaman kini menjadi terusan air.
Hujan lebat sejak Jun lalu itu menyebabkan sekurang-kurangnya 141 orang maut atau hilang, memaksa hampir 15 juta orang dipindahkan dari kediaman masing-masing mulai awal bulan ini dengan anggaran kerugian ekonomi berbilion-bilion dolar.
Penduduk terpaksa menyelamatkan diri menggunakan bot atau rakit kerana hujan lebat yang masih berterusan sudah menenggelamkan perkampungan dan bandar.
Seorang jurugambar AFP yang melakukan tinjauan di Jiangxi, melihat sendiri pekerja penyelamat berusaha memperbaiki tembok dan dinding penahan banjir walaupun agensi kaji cuaca meramalkan hujan lebat selama beberapa hari berikutnya.
Paras air di lebih 400 sungai sudah melebihi tahap amaran berbahaya manakala di beberapa tempat pula, melimpah melebihi tahap ketinggian pernah dicatatkan berikutan taburan hujan tertinggi di lembangan Yangtze sejak 1961.
Pihak berkuasa juga sangat bimbang dengan keadaan Tasik Poyang iaitu tasik air tawar terbesar di China di wilayah Jiangxi, yang turut dilanda banjir teruk.
Paras air di kawasan itu sudah mencapai tahap tertinggi, memaksa lebih 100,000 tentera dan anggota penyelamat bertungkus lumus membantu penduduk serta membina tembok penahan banjir untuk mengelak ancaman lebih teruk.
Menurut media rasmi kerajaan, yang memetik sumber pihak berkuasa, hujan lebat di hulu menyebabkan aliran masuk air meningkat dengan cepat ke kawasan takungan yang dibina ketika pembinaan Empangan Three Gorges.
Pembinaan empangan itu, yang sudah lama dibantah aktivis alam sekitar kerana menjejaskan ekologi sungai selain memaksa pemindahan jutaan penduduk, kini tidak dapat menangani peningkatan air akibat hujan.
Media tempatan turut melaporkan, pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran mengenai peningkatan paras air Sungai Huaihe, jalan air utama di China di utara Yangtze. – AFP