
LOS ANGELES: Bintang pop Justin Timberlake memberitahu para peminat semalam bahawa beliau menghidap penyakit Lyme, satu keadaan yang digambarkannya sebagai “sangat melemahkan tanpa henti.”
Bekas vokalis utama kumpulan NSYNC yang kini berusia 44 tahun itu bharu sahaja menamatkan jelajah dunia dan meluahkan perasaannya dalam Instagram.
“Ini merupakan pengalaman yang paling menyeronokkan, penuh emosi, memuaskan, mencabar dari segi fizikal dan kadangkala amat meletihkan,” katanya mengenai jelajah tersebut, yang turut menerima kritikan daripada sesetengah peminat kerana dianggap hambar.
“Antara lain, saya sedang bergelut dengan beberapa masalah kesihatan, dan telah didiagnosis menghidap penyakit Lyme, bukan untuk meraih simpati tetapi untuk memberi sedikit gambaran tentang apa yang saya hadapi di sebalik tabir.
“Hidup dengan penyakit ini boleh menjadi sangat melemahkan, baik dari segi mental mahupun fizikal. Apabila saya mula-mula menerima diagnosis itu, saya memang terkejut. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat faham kenapa saya berada di atas pentas sambil menahan kesakitan saraf yang teruk, atau rasa penat melampau dan tidak sihat.”
Penyakit Lyme disebabkan oleh bakteria yang biasanya dibawa oleh kutu yang hidup di kawasan berhutan di seluruh Amerika Utara dan Eropah.
Gejala penyakit ini boleh merangkumi kesakitan seluruh badan, keletihan, dan kelemahan otot. Dalam kes yang serius, pesakit boleh mengalami kerosakan pada tisu, sendi dan sistem imun.
Penyanyi lagu Can’t Stop The Feeling itu berdepan masalah undang-undang tahun lalu selepas ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di sebuah bandar kecil berhampiran New York.
Timberlake, yang hubungan rumitnya dengan Britney Spears menjadi inspirasi untuk lagu hit Cry Me A River pada 2002, kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan dan diarahkan untuk menjalani khidmat masyarakat. Foto AFP