KUCHING: Seorang jurutera warga tempatan di sebuah syarikat swasta di sini kehilangan RM128,000 setelah menjadi mangsa sindiket penipuan melibatkan pelaburan mata wang kripto dalam talian baru-baru ini.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri mangsa yang berumur dalam lingkungan 30-an itu membuat laporan polis berhubung insiden pada 11 Oktober setelah dia menyedari menjadi mangsa sindiket penipuan.
“Mangsa memaklumkan telah berkenalan dengan seorang perempuan dikenali sebagai Lucy melalui Facebook pada Mei 2023 yang kemudian memperkenalkan mangsa dengan pelaburan mata wang kripto.
“Nombor telefon mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp sebelum mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Lim yang dipercayai pengurus Yomaex,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azman lagi, suspek kemudian mengatakan pelaburan tersebut merupakan pelaburan mata wang kripto yang berpandukan pasaran di Amerika Syarikat.
Setelah yakin dengan pelaburan tersebut, mangsa kemudian melakukan sembilan transaksi pemindahan wang secara atas talian sebanyak RM182,000 ke sembilan akaun bank yang berbeza seperti yangdiberikan suspek pada pertengahan Ogos 2023 hingga penghujung September 2023.
“Menurut mangsa, semua urusan jual beli mata wang kripto dibuat oleh dia sendiri dan sekiranya terdapat keuntungan, hasil akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa di platform Yomaex.
“Mangsa pernah menerima wang pulangan berjumlah RM4,524 sahaja sepanjang dia menyertai pelaburan tersebut.
“Pada awal Oktober 2023, mangsa telah menghubungi suspek kerana ingin mengeluarkan wang berjumlah ASD375,763 dari akaun Yomaex miliknya.
“Walaubagaimanapun, mangsa diminta oleh suspek untuk membuat bayaran tambahan sebanyak lima peratus daripada jumlah tersebut sekiranya mangsa ingin mengeluarkan kesemua wang dari akaun tersebut.
“Mangsa kemudian berasa telah ditipu dan tampil bagi membuat laporan polis untuk siasata selanjutnya,” jelas Azman dalam kenyataan itu.
Menjelas lanjut, Azman berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Oleh Rynna Sha’erra