PERIKSA… Jurutera dan juruteknik dari Feichi bersama Sarawak Metro dan Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin semasa lawatan ke bengkel bas hidrogen.
KUCHING: Selepas tempoh lebih dua tahun, jurutera dari Foshan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd (Feichi) di China kagum dengan prestasi bas hidrogen yang kini dalam operasi percubaan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro).
Feichi ialah pengeluar tiga bas hidrogen Metro Sarawak dan baru-baru ini jurutekniknya tidak dapat membuat sebarang perjalanan ke Kuching untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual, disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia dan China.
Menurut salah seorang wakil dari Feichi, Kingsley Zhou Jia Dong mengakui kerja mengagumkan yang dilakukan oleh juruteknik tempatan sejak dua tahun lalu dalam memastikan bas tersebut selamat dan sesuai jalan.
“Walaupun kami tidak dapat berada di sini secara fizikal di Kuching untuk menjalankan penyelenggaraan dan servis sejak dua tahun lalu, kami semua kagum dengan prestasi bas.
“Pasukan teknikal Sarawak Metro telah melakukan kerja yang baik dalam menjaga bas kerana ketiga-tiganya berada dalam keadaan sangat baik,”kata Zhou, yang menjelaskan bahawa sejak dua tahun lalu pasukan juruteknik tempatan Sarawak Metro berada di bawah bimbingan berterusan Feichi, menggunakan platform digital untuk berkomunikasi setiap minggu.
Zhou juga menegaskan bahawa walaupun direka bentuk terutamanya untuk digunakan pada keadaan jalan raya bandar yang rata dan licin, bas hidrogen Sarawak Metro mampu bergerak dengan baik pada keadaan jalan yang lebih mencabar, seperti beberapa laluan di laluan Damai Loop ke arah Damai Central.
“Walaupun sekatan perjalanan yang ketat masih dikenakan di China, ketiga-tiga juruteknik itu diberi kebenaran khas untuk melakukan perjalanan dan berada di Kuching untuk perjalanan kerja 2 minggu mereka untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual utama pada bas hidrogen.”
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata kehadiran Feichi di Kuching menunjukkan bahawa mereka bukan semata-mata di sini untuk menservis dan membaiki bas hidrogen tetapi juga menunjukkan komitmen mereka dalam memenuhi kewajipan mereka.
“Saya percaya kenderaan sifar pelepasan adalah masa depan pengangkutan, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh dunia, kerana ia adalah bahagian penting dalam usaha global untuk memerangi perubahan iklim.
“Oleh itu, saya percaya tanggungjawab kita untuk menimba sebanyak mungkin pengetahuan tentang bagaimana kita boleh menggabungkan kenderaan sedemikian untuk memberi manfaat kepada kehidupan seharian rakyat kita di Sarawak,”katanya semasa sesi taklimat Kementerian Pengangkutan Sarawak mengenai operasi percubaan bas hidrogen yang telah anjuran Sarawak Metro di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, operasi percubaan bas hidrogen telah memberikan gambaran yang berharga tentang cara kerja armada pengendalian kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen berat (FCEV), terutamanya untuk tujuan pengangkutan awam.
Untuk rekod, perkhidmatan bas hidrogen telah diperkenalkan pada Januari 2020 dan operasi percubaan bertujuan untuk mengumpul data mengenai prestasi kenderaan tersebut.
Operasi percubaan untuk perkhidmatan bas hidrogen adalah bahagian penting dalam proses penggunaan teknologi baharu seperti sel bahan api hidrogen ke arah penyahkarbonan sektor pengangkutan awam.
Kuching ialah bandar pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan bas berkuasa sel bahan api hidrogen untuk kegunaan awam dan pengenalan bas hidrogen itu juga berperanan sebagai persediaan untuk pelaksanaan sistem pengangkutan awam pelepasan sifar masa depan Sarawak serta memajukan agenda ekonomi hidrogen.
Operasi perkhidmatan penumpang percubaan bas hidrogen kini dihentikan buat sementara waktu dari 6 Ogos hingga 21 Ogos 2022 kerana bas menjalani penyelenggaraan utama.