
AACHEN (Jerman): Seorang jururawat di Jerman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh 10 pesakit tenat di wad paliatif bagi mengurangkan beban kerjanya semasa syif malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah wilayah di Aachen menjatuhkan hukuman ke atas lelaki itu dan memutuskan bahawa disebabkan keseriusan jenayahnya, tertuduh tidak layak dipertimbangkan untuk parol selepas menjalani tempoh minimum 15 tahun penjara.
Sehingga kini, jumlah sebenar pesakit yang dibunuh oleh jururawat berusia 44 tahun itu masih belum diketahui.
Menurut pihak pendakwaan, seramai 13 pesakit meninggal dunia selepas tertuduh memberikan ubat penenang, kadangkala digabungkan dengan ubat tahan sakit, ketika bertugas di sebuah klinik berhampiran Bandar Aachen antara Disember 2023 dan Mei 2024.
Pada mulanya, tertuduh didakwa atas sembilan pertuduhan membunuh dan 34 cubaan membunuh, namun menjelang akhir perbicaraan, mahkamah mendapati beliau turut membunuh mangsa ke-10 serta mensabitkannya atas 27 pertuduhan cubaan membunuh.
Pendakwa menuduh jururawat itu memberikan ubat penenang kepada pesakit bagi mengurangkan beban kerja ketika bertugas pada waktu malam. Namun, tertuduh menafikan dakwaan bahawa dia memberi ubat berkenaan dengan niat untuk menamatkan nyawa pesakit.
Peguam bela pula memohon supaya anak guam mereka dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Siasatan masih diteruskan terhadap beberapa kes disyaki melibatkan tahun sebelumnya, dan pihak pendakwaan di Aachen menjangkakan pertuduhan tambahan akan difailkan.- Bernama-dpa