
PARIS, Perancis: Claude Le Roy, 78, dilantik sebagai jurulatih baharu Republik Congo, umum persekutuan bola sepak negara itu hari ini dengan misi membawa pasukan yang gagal layak ke Piala Dunia itu ke kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027.
Ia merupakan tugas pertama beliau sebagai ketua jurulatih sejak meninggalkan Togo pada 2021.
“Bilik mesyuarat Kementerian Sukan menjadi lokasi majlis rasmi menandatangani kontrak Claude Le Roy sebagai perunding pakar sukan dan jurulatih kebangsaan Red Devils,” tulis Persekutuan Bola Sepak Congo menerusi akaun media sosial mereka.
Di Afrika, jurulatih Perancis yang berpengalaman luas itu pernah mengendalikan Cameroon dan Republik Demokratik Congo masing-masing sebanyak dua kali, selain Senegal, Ghana dan Togo. Ini juga merupakan penggal kedua beliau bersama Congo selepas membimbing pasukan itu dari 2013 hingga 2015.
Di bawah kendalian “Ahli Sihir Putih” itu, Red Devils mara ke suku akhir AFCON 2015, pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan itu sejak 1974.
Le Roy, yang memenangi AFCON bersama Cameroon pada 1988, bukanlah jurulatih antarabangsa tertua ketika ini.
Jurulatih Curacao di Piala Dunia, Dick Advocaat, lebih tua lima bulan daripadanya.
Bekas pertahanan antarabangsa Senegal, Omar Daf, akan bertindak sebagai penolong Le Roy.
Congo akan memburu kelayakan pertama ke AFCON sejak 2015 selepas terlepas lima edisi terakhir kejohanan itu.
Dalam kempen kelayakan AFCON 2027 yang dijadual berlangsung di Tanzania, Kenya dan Uganda, Congo diundi dalam kumpulan bersama Cameroon, Comoros dan Namibia. – AFP