
RAHSIA kemajuan pembangunan di Semenanjung yang jauh lebih maju berbanding Sarawak dan Sabah selama ini adalah kebolehcapaian rangkaian jalan raya.
Hampir setiap daerah dan kampung boleh dilalui dengan kemudahan jalan raya, jalan yang bertar bukan batu kerikil.
Ini sekali gus menggerakkan sosioekonomi rakyat.
Setelah ada Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Johor hingga ke Perlis sepanjang 847.7 kilometer yang siap pada 1994, kemudian wujud pula beberapa lebuh raya termasuk di Pantai Timur.
Terbaharu siapnya Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan jajaran Perak.
Ini juga meningkatkan aktiviti ekonomi seperti produk pertanian dijual sepanjang laluan WCE dari Kuala Selangor hingga ke Perak.
Bezanya cuma keadaan geografi, dengan permukaan bumi terutama di Sarawak yang berbukit-bukau, banyak tempat ada sungai yang memerlukan pembinaan jambatan, lebih 5,000 kampung dan rumah panjang berselerak di merata tempat, sekali gus memberi cabaran kepada pembinaan jalan raya masuk, bekalan air paip dan elektrik semuanya memerlukan ukuran panjang paip serta tiang dan wayar elektrik.
Apalah sangat berbanding negeri Perlis yang hanya sebesar Serian, sudah pasti tidak timbul permasalahan untuk membina prasarana lengkap.
Bayangkan Daerah Baram yang sebesar negeri Pahang.
Guna helikoper sekali pun, tidak akan berupaya singgah di setiap penempatan di Baram dalam tempoh sehari.
Hanya setelah lebih setengah abad merdeka, barulah rakyat Sarawak mula menikmati lebuh raya atas nama Lebuh Raya Pan Borneo dari Sematan, Lundu hingga ke Miri.
Terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak dan Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan atas usaha ini.
Benar Lebuh Raya Utara Selatan hanya siap pada 1994, tetapi jalan utama menuju utara dari selatan dan ke pantai timur Semenanjung sudah lama wujud, mungkin lebih baik keadaannya berbanding Lebuh Raya Pan Borneo.
Sebab itu jugalah rakyat Sarawak ‘bising’ apabila hasil kekayaan sumber selama ini, tidak berapa memberi manfaat besar untuk pembangunan negeri.
Andai Lebuh Raya Pan Borneo sudah wujud 20 tahun lalu, andai jalan pesisir sudah ada 10 tahun lalu, andai tiada lagi sekolah daif, andai tiada lagi guna perahu untuk ke sekolah, andai semua daerah mempunyai hospital (kini lima daerah tidak mempunyai kemudahan hospital meskipun penduduk di kawasan tersebut melebihi 30,000 orang), sudah pasti rasa ‘terpinggir’ rakyat Sarawak berkurangan.
Internet? Memang ada usaha untuk memperbaiki keadaan di luar bandar dan pedalaman.
Namun, realitinya masih jauh daripada kenyataan ‘5G kini diperluaskan ke luar bandar’, sesuatu yang hanya sedap didengar.
Entah apa sebenarnya yang berlaku, kerana ada lokasi padat penduduk berhari raya baru-baru ini tiada perkhidmatan internet sepanjang hari.
Yang paling ketara pada musim Aidilfitri kali ini ialah kurangnya masalah ‘black-out’ bekalan elektrik.
Semua ini adalah kemudahan asas yang wajib disediakan oleh pihak berkuasa.
Memang sedih melihat murid sekolah terpaksa naik atas pokok seketika dahulu semata-mata mahu capaian internet.
UBAH FORMULA AGIH PERUNTUKAN
Selama ini, ketika semua orang bercakap pasal rangkaian telekomunikasi 5G, penduduk luar bandar dan pedalaman negeri ini masih terkapai-kapai mencari talian akses internet yang kadangkala bagaikan ditakok 2G, jauh sekali untuk menggapai sesuatu bercirikan kecerdasan buatan (AI) yang hanya mudah diakses di kawasan bandar besar.
Justeru, formula agihan peruntukan untuk pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan perlu diubah, bukan lagi berdasarkan saiz jumlah penduduk.
Tentu kita masih ingat satu ketika dahulu kenyataan kononnya lebuh raya sukar dibina di Sarawak kerana jumlah kenderaan sedikit, hatta tidak berbaloi kerana kutipan tol terlalu sedikit untuk menampung kos bina lebuh raya berbilion ringgit seperti Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung.
Itu kenyataan sebelum lahirnya Pan Borneo dan awal-awal lagi Tok Nan umum, tidak perlu tol di Sarawak.
Oleh itu, peruntukan pembangunan untuk Sarawak dan Sabah perlu diseimbangkan dengan jurang pembangunan, bukan kerana jumlah penduduk yang sedikit.
Dua tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof pernah menyatakan bahawa isu pembangunan terutama kemudahan asas di Sabah dan Sarawak perlu dilihat kepada saiz kedua-dua negeri ini, dan bukan hanya kepada kepadatan penduduk di sesuatu kawasan dan negeri.
“Saiz Sabah dan Sarawak yang besar, namun dengan kepadatan jumlah penduduk yang rendah berbanding Semenanjung menjadi antara faktor pembangunan di kedua-dua negeri ini agak ketinggalan berbanding negeri lain kerana keutamaan peruntukan kerajaan biasanya diberikan berdasarkan kadar kependudukan di sesebuah negeri.
“Pendekatan kerajaan berbeza, biasanya pembangunan memfokuskan kepada ramainya penduduk, sebab itu sejak dahulu apabila perancangan dibuat, Sabah dan Sarawak sering kali tertinggal sebab penduduknya sikit,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Namun, kita tetap bersyukur apabila kerajaan Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri untuk membina 16 jambatan utama membabitkan kos RM5.9 bilion.
Dalam tahun ini, sembilan lagi projek pembinaan jambatan giat dilaksanakan di Sarawak dijangka siap.
Ia sebahagian daripada 16 projek pembinaan jambatan, dengan empat projek telah berjaya disiapkan iaitu Jambatan Marudi menjelang Krismas Disember lalu dan Jambatan Muara Lassa, yang pembukaannya dirasmikan oleh Premier Sarawak 22 Februari lepas, sekali gus mengakhiri penggunaan feri.

PROJEK JAMBATAN
Turut siap ialah Jambatan Bintulu-Jepak (Jambatan Ikonik Kabel) yang prapelancarannya pada 23 Mac lalu, manakala Jambatan Batang Rajang dibuka pada 27 Mac lalu, lima hari sebelum Hari Raya.
Siapnya Jambatan Bintulu-Jepak, memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke pusat bandar dari 22km kepada hanya 6.4km di laluan jalan pesisir kawasan Jepak.
Selain itu, jambatan lain yang dijangka siap tahun ini termasuk Jambatan Sejingkat, Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Saribas 1, Jambatan Kemena-Sebauh, Jambatan Sungai Limbang, dan Jambatan Sungai Kemena di Sebauh, Bintulu.
Jambatan Batang Lupar 2 pula dijangka siap pada suku pertama tahun depan, yang bakal memendekkan perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada 71 km kepada hanya 28 km, manakala masa perjalanan juga akan berkurang daripada satu jam kepada hanya 30 minit.
Semua ini untuk kesenangan rakyat. Penduduk pesisir sudah mula merasakan keselesaan ini apabila siapnya jambatan Batang Rajang dari Sarikei ke Tanjung Manis baru-baru ini.
Bandar Sarikei kini semakin sesak dengan kereta kerana pergerakan lebih singkat dari Kampung Rajang, Paloh, Belawai, Jerijeh dan Tanjung Manis.
Begitu juga bagi penduduk dari Pulau Bruit, Daro dan Matu meskipun kini masih melalui feri di Batang Paloh untuk ke Sarikei.
Menurut pihak JKR, jambatan Batang Paloh dijangka siap Februari tahun depan, sempat digunakan menjelang Hari Raya 2026.
Bagi projek pembinaan Jambatan Rambungan di Lundu/Kuching pula dijangka siap pada 2027.
Ini bermakna, tiada lagi feri digunakan selepas 2027.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.