
TOKYO: Jepun mencatatkan suhu paling panas pada Jun, rekod baharu dalam sejarah, menurut Agensi Meteorologi negara itu hari ini.
Perubahan iklim terus mencetuskan gelombang haba melampau di seluruh dunia.
“Suhu purata bulanan Jepun bagi Jun adalah yang tertinggi sejak pencatatan statistik bermula pada 1898,” menurut kenyataan agensi berkenaan.
Agensi itu menjelaskan bahawa kehadiran sistem tekanan tinggi yang kukuh sepanjang Jun menyebabkan suhu purata bulanan meningkat sebanyak 2.34 darjah celsius berbanding paras normal.
Suhu perairan pesisir di sekitar Jepun turut meningkat sebanyak 1.2 darjah celsius, menyamai rekod tertinggi bagi Jun sejak pencatatan data bermula pada 1982, menurut agensi itu lagi.
Agensi berkenaan turut mengeluarkan amaran yang kian lazim bagi penduduk Jepun: Bulan hadapan dijangka terus mencatatkan cuaca panas terik di seluruh negara.
Pengumuman ini dibuat ketika para saintis menyatakan bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan gelombang haba menjadi lebih teruk, kerap dan meluas.
Gelombang haba yang melampau ketika ini sedang melanda Eropah dari Perancis hingga ke Greece, manakala Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Dunia (FIFPro) menyeru supaya waktu rehat separuh masa dipanjangkan pada Piala Dunia tahun depan bagi menangani kesan cuaca panas melampau.
Pakar kaji cuaca Jepun bagaimanapun mengingatkan agar tidak membuat kesimpulan langsung antara keadaan cuaca tertentu, seperti peningkatan suhu dalam tempoh singkat, dengan perubahan iklim.
Namun, mereka mengakui iklim yang berubah sejak beberapa dekad lalu telah menyebabkan fenomena cuaca yang semakin sukar diramal. – AFP