KUALA LUMPUR: Jumlah premium insurans hayat turun 12.6 peratus kepada RM5.24 bilion bagi separuh pertama 2020 daripada RM6 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas apabila aktiviti jualan insurans bersemuka tidak dapat dilakukan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) yang bermula sejak 18 Mac 2020.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata, ia disebabkan terutamanya penurunan polisi berkaitan pelaburan yang menguncup sebanyak 24.5 peratus kepada RM1.73 bilion dari segi jumlah premium.
“Insurans berkaitan pelaburan adalah pelan insurans yang memiliki ciri-ciri lebih unik dan memerlukan interaksi bersemuka oleh ejen untuk menjelaskan ciri-ciri ini dan memastikan kesesuaiannya sebelum pelan berkaitan pelaburan dicadangkan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun, LIAM berkata, industri insurans hayat merekodkan lonjakan dalam jualan saluran langsung bagi insurans sementara, insurans penyakit kritikal serta insurans perubatan dan kesihatan disebabkan oleh sekatan jualan bersemuka oleh ejen dan kakitangan bank semasa pkp.
“Bilangan polisi yang dijual menerusi saluran langsung melonjak 47.5 peratus pada separuh pertama 2929, dengan premium tahunan dan jumlah jumlah dijamin mencatatkan tahap pertumbuhan masing-masing pada 63.9 peratus dan 71.5 peratus,” kata persatuan itu.
Presidennya Loh Guat Lan berkata pandemik Covid-19 telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan perlindungan insurans hayat.
“Semasa PKP dan PKPP, syarikat insurans terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggannya menerusi platform digital atau dibantu oleh pusat perkhidmatan pelanggan.
“Meskipun kaedah dan teknologi baharu akan memberi impak bagaimana perniagaan dijalankan setiap hari, saya percaya penggunaan teknologi tidak dapat dielakkan untuk kita menjadi lebih cekap, responsif dan produktif untuk berhubung dengan pelanggan kita,” katanya. – Bernama