
LAWAS: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Trusan meningkat daripada 16 orang kepada 34 orang, petang ini.
Seramai 21 orang telah ditempatkan di Dewan Masyarakat Trusan dan 13 orang ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Trusan.
Kedua-dua tempat berkenaan telah dijadikan sebagai PPS untuk mangsa banjir dari kawasan Trusan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong telah melawat kedua-dua PPS dan turut menyampaikan sumbangan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau turut menggesa penduduk di kawasan terjejas banjir untuk memastikan semua mangsa perlu mengutamakan keselamatan nyawa berbanding perkara lain.
“Utamakan nyawa dan keselamatan keluarga masing-masing terlebih dahulu dan pastikan kita mengikut arahan yang diberikan oleh agensi yang terlibat dalam operasi membantu mangsa-mangsa banjir.

Kita juga mahu semua ketua kampung dan ketua masyarakat di kawasan terjejas banjir atau berisiko banjir untuk sentiasa berhubung dengan bilik gerakan bencana daerah atau pegawai yang bertanggungjawab untuk kita bantu,” katanya ketika ditemui media selepas melawat ke PPS Dewan Masyarakat Trusan dan SJKC Chung Hwa Trusan petang ini.
Hujan renyai-renyai masih berlaku di beberapa tempat di Daerah Lawas sejak petang semalam hingga petang ini.
Oleh Adeng Edrus