

SELANGAU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip, Selangau meningkat kepada 236 mangsa melibatkan 64 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pertambahan mangsa itu melibatkan penduduk dari tiga rumah panjang iaitu Rumah Janting, Rumah David dan Rumah Jambai yang terjejas akibat banjir.
“Selain penduduk rumah panjang, seramai tiga kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Arip turut dipindahkan ke PPS berkenaan sebagai langkah keselamatan,” katanya hari ini.
Menurutnya, Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan turut hadir memantau keadaan di PPS SK Bukit Arip sekitar 5.00 petang semalam bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjamin.
Sementara itu, PPS SK Bukit Arip Selangau mula beroperasi pada 12.00 tengah hari semalam bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Oleh Tarani Lanting