Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Jumlah korban nahas bas di Afghanistan meningkat 76 orang
  • GLOBAL

Jumlah korban nahas bas di Afghanistan meningkat 76 orang

Utusan Sarawak 9 hours ago
ORANG ramai berdiri berhampiran bangkai sebuah bas di lokasi kemalangan di Daerah Guzara, wilayah Herat. Foto AFP

AFGHANISTAN: Jumlah kematian akibat perlanggaran antara sebuah bas yang membawa migran Afghanistan pulang dari Iran dengan dua kenderaan lain di barat Afghanistan telah meningkat kepada 76 orang, menurut seorang pegawai wilayah.

“Tujuh puluh enam rakyat negara ini… terkorban dalam insiden tersebut, manakala tiga lagi cedera parah,” kata jurucakap kerajaan wilayah Herat, Mohammad Yousuf Saeedi, dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa telah dipindahkan ke sebuah hospital tentera, dan menurut kenyataan pihak tentera, lebih daripada sedozen kanak-kanak turut terkorban.

Ramai daripada mayat mangsa dilaporkan sukar dikenal pasti, kata Mohammad Janan Moqadas, ketua pegawai perubatan di Hospital Kor Tentera Al-Farooq.

Polis di Daerah Guzara, terletak di luar bandar Herat, lokasi kejadian semalam memaklumkan bahawa bas tersebut telah berlanggar dengan sebuah motosikal dan sebuah lori yang membawa bahan api, yang mencetuskan kebakaran besar.

ANGGOTA keselamatan berkawal di lokasi kemalangan bas di daerah Guzara, wilayah Herat. Foto AFP

Seorang wartawan AFP yang berada di lokasi pada malam kejadian melihat rangka bas yang hangus terbakar di atas jalan, beberapa jam selepas kemalangan berlaku.

Menurut Saeedi kepada AFP semalam, bas berkenaan membawa rakyat Afghanistan yang baru pulang dari Iran dan dalam perjalanan menuju ke ibu negara, Kabul.

Sekurang-kurangnya 1.5 juta orang telah pulang ke Afghanistan sejak awal tahun ini dari Iran dan Pakistan, dua negara yang kini giat mengusir migran selepas bertahun-tahun menjadi tuan rumah kepada mereka, menurut Agensi Migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ramai dalam kalangan mereka yang pulang telah menetap bertahun-tahun di luar negara dan kembali tanpa tempat perlindungan serta hanya membawa sedikit barangan peribadi.

Mereka berdepan cabaran besar untuk membina semula kehidupan di sebuah negara yang dihimpit kemiskinan kronik dan kadar pengangguran yang tinggi.

Agensi Berita Bakhtar, yang dikendalikan kerajaan, melaporkan bahawa kemalangan itu merupakan antara yang paling tragik di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Afghanistan, disebabkan antara lain oleh keadaan jalan yang daif akibat konflik berpanjangan, pemanduan berbahaya di lebuh raya, serta kekurangan penguatkuasaan undang-undang trafik.

Pada Disember tahun lalu, dua kemalangan bas melibatkan sebuah tangki minyak dan sebuah lori di lebuh raya tengah Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 52 orang.

Pada Mac 2024, lebih 20 maut dan 38 lagi cedera apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah tangki minyak dan terbakar di wilayah selatan Helmand.

Satu lagi kemalangan serius berlaku pada Disember 2022, apabila sebuah tangki minyak terbalik dan terbakar di Laluan Salang, kawasan tanah tinggi di Afghanistan, mengakibatkan 31 kematian. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Robot digunakan untuk pembersihan serpihan radioaktif di Fukushima
Next: Objek misteri terangi langit malam di barat Jepun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.