SEOUL: Jumlah mereka yang bekerja sendiri di Korea Selatan telah menurun dengan kadar yang jauh lebih cepat pada 2020 berbanding tahun lalu setelah dilanda pandemik Covid-19, menurut data yang ditunjukkan semalam.
Ekonomi keempat terbesar Asia itu mempunyai 5.548 juta individu yang bekerja sendiri sehingga akhir Julai, menurun 127,000 berbanding bulan yang sama tahun lepas, menurut data daripada Institut dan Statistik Perniagaan Kecil Korea, lapor agensi berita Yonhap.
Penurunannya jauh lebih tinggi daripada jumlah tahun sebelumnya. Pada Julai tahun lalu, jumlahnya mengikut tahun menurun sebanyak 26,000.
Mereka yang bekerja sendiri dengan pekerja berjumlah 1.345 juta pada akhir Julai tahun ini, merosot 175,000 orang dari tahun sebelumnya.
Sebaliknya, jumlah orang yang bekerja sendiri tanpa pekerja meningkat kepada 4.203 juta, kenaikan 48,000 dari tahun sebelumnya.
Golongan yang bekerja sendiri di Korea Selatan sangat terjejas dengan pandemik COVID-19 dan langkah penjarakan sosial seterusnya, telah mengakibatkan perbelanjaan pengguna di negara ini menurun.
Pakar mendesak pemerintah mengadakan langkah-langkah yang dapat menyokong golongan yang bekerja sendiri di negara itu daripada kemelesetan ekonomi.
Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan tambahan bernilai sekurang-kurangnya 7 trilion won (US$5.9 bilion) sebagai sokongan negara yang “disesuaikan” kepada mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19, termasuk mereka yang bekerja sendiri.
Di Wellington, kira- kira satu daripada 14 pekerja mengatakan mereka mungkin akan kehilangan pekerjaan atau perniagaan menjelang pertengahan 2021, lapor agensi berita Xinhua, memetik jabatan statistik New Zealand, Stats NZ.
Tinjauan yang dilakukan terhadap pekerja pada suku Jun 2020 menunjukkan tujuh peratus daripadanya kemungkinan besar akan hilang pekerjaan atau perniagaan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Stats NZ.
Di peringkat nasional, ia mewakili 185,000 pekerja. Sebanyak 18 peratus lagi atau 468,000, merasakan mempunyai sedikit peluang manakala empat peratus lagi atau 105,000 tidak pasti apa yang akan berlaku.
Sebilangan besar mereka yang terbabit dalam tinjauan itu, 71 peratus atau 1.86 juta, mengatakan sama ada terdapat sedikit kemungkinan atau tiada langsung mereka akan kehilangan pekerjaan atau perniagaan.
Tinjauan mengenai tenaga kerja itu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari April hingga Jun. -Bernama