HALUS, cantik dan teliti buatan kraf tangan maniknya, hingga tidak jemu mata memandang.
Kemahiran menganyam kraf tangan tradisional menggunakan manik sudah sebati dalam diri Juliana Jumpap.
Juliana berusia 43 tahun dan merupakan seorang suri rumah dan mempunyai tiga orang cahaya mata yang berasal dari Kanowit, kini menetap di Jalan Paris Height 2, Bintangor.
Katanya, semangat ingin belajar menganyam kraf tangan manik tradisional masyarakat Iban lebih kurang 8 tahun lalu, kini membuahkan hasil lumayan buat diri dan keluarganya.
“Pelbagai pahit manis diharungi ketika mula mempelajari cara menganyam kraf tangan manik tradisional.
“Namun pengalaman itu saya jadikan sebagai semangat diri untuk lebih berjaya pada hari ini.
“Kesungguhan, kesabaran dan ketekunan merupakan kunci kejayaan saya untuk menghasilkan setiap kraf tangan manik tradisional masyarakat Iban,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak.
Antara kraf tangan manik tradisional masyarakat Iban yang dianyam oleh Juliana ialah Marik Empang atau Tangu, rantai manik dan bakul manik.
Marik Empang merupakan hiasan manik yang dipakai oleh wanita masyarakat Iban dileher.
Menurut Juliana, untuk menghasilkan Marik Empang, beliau memerlukan masa lebih kurang sebulan.
“Menganyam manik untuk menghasilkan Marik Empang memerlukan ketekunan dan ketelitian.
“Oleh itu, sekiranya tiada pekara lain yang perlu diselesaikan, saya boleh menghasilkan satu Marik Empang dalam masa lebih kurang sebulan,” ujarnya.
Tambahnya, kini ramai dikalangan rakan-rakannya dan peminat kraf tangan manik tradisional Iban menempah Marik Empang dan kraf tangan tradisonal masyarakat Iban darinya.
“Mula belajar dulu, saya jadikan ia sebagai koleksi sahaja dan tidak sangka ia menarik minat rakan-rakan dan peminat kraftangan ini meminta saya menjual Marik Empang kepada mereka.
“Kini, saya hanya mengayam Marik Empang sekiranya ada permintaan.
“Dulu, kos yang perlu saya sediakan untuk membuat satu Marik Empang dalam RM150-RM200, bergantung kepada jenis manik yang ingin digunakan oleh pelanggan,” ujarnya.
Jelasnya, cabaran buat masa ini ialah harga manik yang agak mahal dipasaran.
“Harga kraf tangan tradisional yang saya jual bergantung kepada harga manik dipasaran,” tambahnya lagi.
Kemahiran Juliana menghasilkan rantai manik juga amat mengkagumkan penulis.
Rantai manik tradisional yang dihasilkannya cukup teliti dan corak seni tradisional yang cantik.
Dalam pada itu, katanya, beliau tidak pernah meminta bantuan dari segi kewangan dari mana-mana jabatan kerana tidak mengetahui proses permohonan bantuan.
“Saya membeli manik-manik untuk menghasilkan kraf tangan tradisional masyarakat Iban menggunakan wang simpanan saya sendiri.
“Saya juga menggunakan hasil sedikit sebanyak keuntungan jualan kraftangan tradisional ini untuk membeli manik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Juliana bersyukur kerana berkat kesabaran dan ketabahannya dulu, kini beliau berjaya membuktikan diri bahawa sikap berdikari dan tidak mudah putus asa sentiasa membuahkan hasil disamping membantu menambah pendapatan keluarganya.
Oleh EARL ANEK