
Penjaring gol pertama Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta (kiri) meraikan kejayaan pasukannya bergelar juara Perisai Komuniti di Stadium Wembley, malam tadi. - AFP
LONDON: Crystal Palace mencipta sensasi apabila menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, 3-2 menerusi penentuan penalti untuk menjulang Perisai Komuniti 2025 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Wembley, malam tadi.
Pemain gantian, Justin Devenny, muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir, selepas tiga tonggak Liverpool, Mohamed Salah, Alexis Mac Allister, dan Harvey Elliott gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.
Liverpool bermula garang menerusi jaringan pemain baharu, Hugo Ekitike, seawal minit keempat namun Palace kembali menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Jean-Philippe Mateta pada minit ke-17 selepas Virgil van Dijk menjatuhkan Ismaila Sarr dalam kotak penalti.

The Reds kembali di depan menerusi satu percubaan lintang Jeremie Frimpong yang tertampan masuk pada minit ke-20, jaringan yang hadir ketika penyokong Liverpool memberi penghormatan kepada Diogo Jota yang meninggal dunia baru-baru ini.
Namun Palace enggan mengalah apabila Sarr menyamakan kedudukan pada minit ke-77, memanfaatkan kesilapan benteng Liverpool sebelum menewaskan penjaga gol Alisson Becker dengan tenang.