• LIGA BETONG 2022
DUA jaringan daripada penyerang, Sheed Owairan berjaya membantu skuad Saratok FA menjulang kejuaraan Liga Betong 2022 dalam aksi perlawanan akhir menentang Hermanos FC yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong semalam.
Dua jaringan tersebut terhasil pada minit ke-26 menerusi sepakan penalti dan minit ke-90 (+3) sekaligus mencipta sejarah tersendiri skuad bimbingan Awang Jobli Awang Bidin itu membawa pulang piala Liga Betong buat julung kalinya.
Awang Jobli menyifatkan kejayaan pasukannya merangkul gelaran juara Liga Betong musim ini adalah berkat usaha keras pemain serta bermain dalam satu pasukan.
“Satu aspek yang dapat saya saksikan ialah peningkatan para pemain kami pada saingan ini terutamanya dari segi kemahiran individu dan mereka bermain sebagai satu pasukan.
“Saingan yang begitu hebat yang diberikan oleh pasukan-pasukan yang bertanding terutamanya Hermanos FC, seakan-akan tidak mahu mengalah, dan akhirnya kami dinobatkan sebagai juara baharu bagi musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Saratok FA, Mohd Faiz Wahi menyifatkan betapa penat lelah dilaburkannya selama membentuk pasukan itu sekali gus memastikannya berada pada kondisi cemerlang ketika ini tidak sia-sia.
“Satu permulaan baik bagi kami musim ini dengan kejayaan meraih juara Liga Betong 2022 buat kali pertama, dan selepas ini kita akan fokus kepada saingan Piala Timbalan Premier Sarawak yang dijangka bermula minggu depan,” ujarnya.
Dengan kejuaraan itu, Saratok FA membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala beserta pingat, manakala hadiah wang tunai RM2,000 selain pingat diterima Hermanos FC selaku naib juara.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Richard Rapu mewakili Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar.
Oleh ADI SAFARMAN