GELARAN juara Kejohanan Sepak Takraw Regu Tertutup Sri Aman 2020 sah menjadi milik regu Rimbas United setelah berjaya menumpaskan Aniberst A menerusi aksi final acara itu baru-baru ini.
Aksi final yang berlangsung di Gelanggang Futsal Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Taman Sentosa itu menyaksikan regu Rimbas United berjaya menumpaskan Aniberst A dengan mata 21-15.
Dengan kemenangan ini, Rimbas United berjaya membawa pulang pingat dan hadiah wang tunai berjumlah RM400 dengan naib juara pula membawa pulang pingat serta hadiah wang tunai berjumlah RM300.
Dua lagi regu diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bersama dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM100 dan pingat iaitu Aniberst B dan Brotherhood B.
Kesemua regu tersebut telah pun menerima hadiah dan pingat masing-masing daripada Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis pada Majlis Penutupan Pertandingan Sepak Takraw Regu Tertutup Sri Aman di gelanggang itu.
Terdahulu sejumlah 12 regu telah berentap merebut gelaran juara menerusi 34 perlawanan yang diadakan menerusi pertandingan anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang itu.
Daripada jumlah tersebut, lapan regu disertai sepenuhnya oleh kaum Iban dengan baki empat regu lagi terdiri daripada campuran peserta kaum Iban, Melayu dan lain-lain kaum di kawasan terbabit.
Pengerusi penganjurnya, Kaunselor Suhaili Abang Abu Samy ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan berkenaan menjelaskan terdapat ramai regu-regu di Sri Aman berminat untuk menyertai acara ini.
Bagaimanapun penularan pandemik Covid-19 katanya telah menyebabkan pihak penganjur bertindak menghadkan jumlah penyertaan demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Namun begitu penularan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan SOP PKPP bukanlah alasan buat kita untuk memeriahkan sukan sepak takraw yang diwarisi turun temurun sehingga sekarang,” kata beliau.
Pertandingan berkenaan telah pun berlangsung selama selama sehari di gelanggang tersebut dan turut mendapat kerjasama penganjuran Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Muhibbah.
Ia turut diserikan dengan kehadiran pegawai teknikal kejohanan iaitu Suhaimi Johan dan beberapa Ketua Masyarakat Cina iaitu Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn serta Ketua Kaum Iban dan Cina di sini.
Oleh VALENTINE NGUMBANG