
BETONG: Hadiah wang tunai RM1,500 menanti juara Kejohanan Futsal Terbuka Wanita Sarawak 2025 yang bakal berlangsung pada 6 hingga 7 Disember depan di Dewan Stadium Mini Betong.
Kejohanan anjuran Kelab Beliawanis Betong dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong itu terbuka kepada 16 pasukan wanita dari seluruh Sarawak.
Penolong Setiausaha Kelab Beliawanis Betong, Cecelia Tini Ajah, berkata penganjuran kejohanan tersebut bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan futsal selain memperkukuh semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan belia wanita.
“Selain sebagai platform mencungkil potensi pemain muda, kejohanan ini turut menggalakkan hubungan silaturahim antara komuniti belia wanita di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kejohanan itu menawarkan jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM3,500, termasuk medal dan sijil penyertaan kepada semua pemenang.
Juara akan membawa pulang RM1,500, naib juara RM1,000, manakala dua pasukan tempat ketiga bersama menerima RM500 setiap satu.
Turut disediakan anugerah khas Pemain Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik sebagai pengiktirafan kepada prestasi cemerlang individu.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM150 bagi setiap pasukan, dengan pendaftaran dibuka mulai hari ini sehingga 29 November 2025.
Pasukan berminat boleh menghubungi urusetia kejohanan, Florina Sandai di talian (011-31227698), Fathin Fathnin (011-72590674) atau Dayang Sahmila (014-7733616) untuk mendapatkan pautan pendaftaran.
Oleh Adi Safarman