
PETRA JAYA: Program Jualan Rahmah yang dilancarkan sempena Festival Maal Hijrah 1447H/2025M terus mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan disifatkan relevan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, program ini yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merupakan tahun ketiga penganjurannya dan saban tahun menerima sambutan yang sangat menggalakkan.
“Setiap kali kita adakan program ini, sambutan amat baik, justeru kali ini kita lanjutkan kepada dua hari bagi memberi lebih ramai peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga rendah.
“Kepada yang belum tahu, Jualan Rahmah akan berlangsung sehingga 8.00 malam esok, jadi datanglah beramai-ramai. Namun, perlu diingat, jangan bawa lori,” katanya berseloroh semasa ditemui media pada majlis pelancaran program berkenaan di pekarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa jualan itu disasarkan kepada kumpulan tertentu, dan setiap pengunjung hanya dibenarkan membeli dua unit bagi setiap barangan agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.

Mengulas lanjut, mengenai Bakul Rahmah yang turut diagihkan kepada 30 penerima terpilih, beliau berkata setiap bakul mengandungi barangan asas seperti beras, telur dan minyak.
Dalam pada itu, terdapat juga pelbagai tawaran menarik termasuk tambah nilai e-dompet sebanyak RM20 kepada 1,000 pengunjung pertama.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sarawak, Ella Syahirah Romy Kasidi dan Ronal Radin, serta pengurusan kanan LAKMNS dan KPDN.
Oleh Shikin Mahmud