
LONDON: Pengeluar kereta mewah, Jaguar Land Rover akan mengurangkan sehingga 500 jawatan pengurusan di United Kingdom (UK) susulan tekanan terhadap jualan akibat isu tarif perdagangan, lapor PA Media/dpa.
Syarikat yang dimiliki Tata itu berkata, sekitar 1.5 peratus daripada tenaga kerja di UK akan terjejas menerusi pelaksanaan program pemberhentian secara sukarela untuk kakitangan pengurusan.
Jurucakap Jaguar Land Rover (JLR) berkata: “Sebagai sebahagian daripada amalan biasa perniagaan, kami secara berkala menawarkan peluang kepada kakitangan layak untuk meninggalkan JLR menerusi program pemberhentian sukarela berskala kecil.”
Langkah itu dibuat susulan pengumuman JLR minggu lalu bahawa jualan runcit syarikat merosot 15.1 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Jun, berikutan penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) dihentikan sementara serta penamatan berperingkat bagi model Jaguar lama.
Syarikat itu menjelaskan, kejatuhan jualan yang ketara itu sebahagiannya disebabkan oleh penghentian penghantaran ke AS pada April selepas pentadbiran Presiden Donald Trump memperkenalkan pelan tarif baharu.
Pada April, kerajaan AS mengumumkan pelaksanaan tarif tambahan sebanyak 25 peratus ke atas import kereta bagi menggalakkan lebih banyak pengeluaran kenderaan di dalam negara.
Bagaimanapun, AS dan UK sejak itu telah mencapai perjanjian yang menyaksikan tarif dikurangkan kepada 10 peratus bagi 100,000 unit pertama kereta buatan UK yang diimport ke AS setiap tahun.
Kereta UK yang melepasi had ini akan dikenakan tarif sebanyak 27.5 peratus.
JLR menghentikan penghantaran baharu ke AS pada April, tetapi menyambung semula eksport pada awal Mei dengan harapan perjanjian perdagangan untuk sektor itu dapat dimeterai.
Jualan borong syarikat di Amerika Utara merosot 12.2 peratus tahun ke tahun selepas gangguan itu, manakala jualan borong di UK turut mencatat kejatuhan besar sebanyak 25.5 peratus pada suku kedua susulan penamatan berperingkat model Jaguar sedia ada.
Jaguar telah menghentikan penjualan kereta baharu di UK pada akhir tahun lalu ketika syarikat itu beralih kepada pengeluaran model elektrik baharu yang dijangka mula dipasarkan pada 2026.
-BERNAMA-PA Media/dpa