
SARIKEI: Program Jualan Khas sempena Gawai Dayak 2025 merupakan satu program yang dirangka dan dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak.
Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong berkata, jualan khas ini diadakan melalui penganjuran Jualan Agro MADANI yang memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas seperti ayam, ikan, daging, sayur-sayuran buah, barang kawalan, barangan runcit dan pelbagai makanan asas utama.

“Orang ramai dapat membeli barangan yang ditawarkan dengan harga berpatutan yang diperkenalkan oleh FAMA.
“Saya difahamkan terdapat diskaun hari ini, khusus untuk warga Sarikei iaitu sehingga ke 25 peratus.
“Ini boleh memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli bekalan makanan dengan harga yang cukup berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas merasmikan Program Jualan Khas sempena Gawai Dayak 2025 dan Penyerahan Pasar Tamu Sarikei, hari ini.
Michael turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak FAMA dan Majlis Daerah Sarikei (MDS) kerana berjaya membangunkan Pasar Tamu.
“Pasar Tamu ini telah siap sepenuhnya dinaik taraf dengan kos sebanyak RM847,870.
“Melalui pelaksanaan projek naik taraf ini, ia memberi nafas baharu kepada Pasar Tamu dalam menyediakan fasiliti lebih selesa kepada usahawan menjual hasil-hasil pertanian, ternakan, hasil laut, hasil hutan, makanan dan minuman kepada pengunjung selain medium pertemuan antara peniaga dan pengunjung dengan mengekalkan keunikan identiti budaya setempat,” katanya.
Turut hadir Pengarah FAMA Negeri Sarawak, Norsalawaty Abdul Kadir; Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii; Pemangku Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin dan Setiausaha MDS, Lolita Jaime.
Oleh Earl Anek