BINTULU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu mengambil tindakan ke atas sebuah stesen minyak di sini, disyaki menjual minyak petrol bersubsidi RON95 kepada warga asing.
Menurut Ketua Cawangan Pejabat KPDN Bintulu Al Redzamani Abdul Razak, stesen minyak terbabit dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
“Tindakan tersebut diambil atas aduan tular di salah satu halaman media sosial tempatan menunjukkan salah sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran sedang mengisi minyak petrol bersubsidi ke dalam tangki kenderaan.
“Ini juga mengulas dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab apabila mendakwa pihak KPDN gagal mengambil tindakan ke atas pengusaha minyak yang menjual minyak petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, pengusaha stesen minyak dilarang menjual minyak bersubsidi itu kepada semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing.
“Pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan bahan bakar itu tidak dijual sewenangnya kepada pemilik kenderaan asing selepas pembukaan penuh sektor ekonomi dan pintu sempadan negara sejak April tahun lalu.
Jelasnya, bagi memastikan tiada ketirisan penjualan minyak petrol RON95 dan diesel, pihak KPDN sedang mempergiat penguatkuasaan untuk memastikan semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi bahan bakar itu.
Bagaimanapun, kata beliau, pemilik kenderaan asing dibenarkan untuk mengisi minyak RON97 di semua stesen minyak di seluruh negara.
“Pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala RM3 juta jika melakukan kesalahan berikutnya.
“Orang perseorangan yang didapati bersalah menjual minyak petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Syarikat yang didapati bersalah menjual kedua-dua bahan bakar itu pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala RM5 juta jika melakukan kesalahan kedua,” jelasnya.
Ujar beliau, pihak KPDN Bintulu tidak akan berkompromi dan menegaskan kepada semua pihak terutama pengusaha stesen minyak agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas.
“Selain memantau melalui kamera litar tertutup (CCTV), orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan membuat laporan kepada pihak KPDN,” katanya lagi.
Oleh Carolyne Utih