
BINTANGOR: Seramai 35 kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarikei menyertai program latihan pencegahan dan kesedaran anjuran bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program bermula seawal 8.00 pagi hingga 1.30 petang bertempat di balai berkenaan.
“Program ini penting untuk melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran di premis masing-masing.
“Latihan seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan, malah membina keupayaan kakitangan agensi untuk menjadi barisan hadapan dalam mencegah dan menguruskan kebakaran sementara menunggu ketibaan bantuan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, antara pengisian utama program adalah ceramah pencegahan kebakaran, taklimat penggunaan alat pemadam api, latihan CPR dan rawatan awal secara praktikal, latihan menyelamat serta simulasi senario kebakaran melibatkan semua peserta.
Beliau turut menggalakkan semua agensi kerajaan mempergiat latihan seumpama itu bagi memastikan tahap kesiapsiagaan premis berada di tahap optimum.
“BBP Bintangor sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan sokongan latihan kepada mana-mana jabatan yang ingin memperkasa keselamatan di tempat kerja mereka,” katanya
Selain itu, para peserta turut diberi peluang mengendalikan sendiri peralatan pemadaman api, mempelajari teknik asas rawatan kecemasan serta memahami langkah-langkah menyelamat secara praktikal.
Oleh Earl Anek