
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menyantuni anak-anak pesakit kanser di Pusat Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) Kuching menerusi program Landas Memberi – Cinta dalam Kotak sempena sambutan Tahun Baharu 2026.
Program bertemakan kasih sayang dan kebersamaan itu bertujuan menyemarakkan semangat juang ‘pejuang cilik’ di SCCS di samping menyampaikan sumbangan hasil kempen dalaman warga kerja JTS.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, kehadiran warga kerja JTS ke SCCS bukan sekadar memenuhi jemputan rasmi, sebaliknya manifestasi keprihatinan jabatan untuk berkongsi kegembiraan dan semangat kekeluargaan bersama anak-anak serta ibu bapa mereka.

“Melalui program Cinta dalam Kotak, warga kerja JTS telah berganding bahu mengumpul dan membalut sendiri hadiah seperti mainan, set keperluan sekolah, alat tulis serta pelitup muka sebagai tanda sokongan moral kepada anak-anak ini untuk memulakan 2026,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap ketabahan ibu bapa dan penjaga yang berdepan cabaran emosi dan fizikal dalam menjaga anak-anak yang menghidap kanser di pusat tersebut.
Dalam masa sama, beliau memuji peranan SCCS dalam menyediakan kemudahan rumah transit serta sokongan pentadbiran yang cekap bagi membantu keluarga pesakit, khususnya mereka yang datang dari kawasan luar bandar.
“Pengalaman keluarga di sini menyuntik semangat kepada kami untuk terus menyumbang, terutamanya dari segi sokongan moral. Kami mendoakan agar ibu bapa terus diberi kekuatan dan anak-anak ini dikurniakan kesihatan yang baik,” tambah beliau.

JTS Sarawak turut menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama dan program kebajikan seumpama ini pada masa hadapan demi kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Presiden SCCS Mary Kiu Ai Ling, Timbalan Pengarah Pengurusan Sr Rozlan Putit, Timbalan Pengarah Operasi TPr Irene Wee Siew Liang, Setiausaha Kehormat SCCS Wilin Main, Bendahari Kehormat SCCS Marylene Placid serta wakil-wakil JTS dan SCCS.
Untuk rekod, kempen Cinta dalam Kotak yang digerakkan sejak November 2025 oleh Unit Perhubungan Awam JTS menerima sambutan luar biasa daripada warga kerja Ibu Pejabat JTS, berjaya mengumpulkan pelbagai barangan keperluan harian, persekolahan dan permainan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kepada penghuni SCCS.