
KOTA SAMARAHAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan meneruskan komitmen terhadap kesejahteraan komuniti luar bandar menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan di Pejabat Daerah Sebuyau, hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa JTS Sarawak, Thian Choon Kui berkata, program ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan usaha berterusan jabatan dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Matlamat utama adalah untuk merapatkan hubungan antara jabatan dan komuniti, serta menyokong institusi pendidikan sebagai asas pembangunan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis tersebut, JTS menyampaikan sumbangan RM10,000 setiap satu kepada lima kampung dan empat sekolah sekitar Daerah Sebuyau, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM90,000.
Penerima sumbangan termasuk Kampung Baru Sebuyau, Kampung Baru Hilir Sebuyau, Kampung Hulu Sebuyau, Kampung Masjid dan Kampung Giat. Manakala sekolah yang menerima sumbangan ialah SK Tuanku Bagus, SJK Chung Hua Sebuyau, Taska Permata KEMAS Sebuyau dan SMK Sebuyau.
Thian berharap agar sumbangan itu dapat dimanfaatkan untuk kebajikan, infrastruktur asas dan sokongan pendidikan mengikut keperluan penerima.
Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Mohammad Zunica Mohamad Sapi’ee, wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Melor Buyong dan Ketua Bahagian Kuari SEDC, Bangit Grunsin.
Oleh Shikin Mahmud