
LONG LAMA: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) telah berjaya mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pejabat Daerah Telang Usan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai sembilan penerima yang terdiri daripada kampung, sekolah dan sebuah pertubuhan pendidikan.
Menurut kenyataan, majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau.
Antara penerima sumbangan ialah Uma Akeh, Long Puak, Long Urun, Long Laput, Kampung Kayan Long Lama, Kampung Sungai Dua, SMK Long Lama, SJK (C) Long Lama, dan Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge, Long Lama.
“Inisiatif berkenaan dibiayai melalui Tabung Dana Amanah CSR JTS, yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
“Dana ini dikumpulkan daripada syarikat-syarikat dalam industri perlombongan dan pengkuarian berdasarkan jumlah bahan yang diekstrak.
“Langkah ini selaras dengan matlamat Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Pada majlis itu, Dato’ Dennis Ngau memuji inisiatif JTS dan komitmen syarikat-syarikat yang terlibat dalam menjayakan program CSR ini.
“Usaha sebegini penting bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi negeri turut dinikmati oleh komuniti luar bandar secara adil dan menyeluruh,” jelasnya.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Miri, Anthony Aboi berkata, program sulung ini merupakan langkah penting dalam komitmen berterusan JTS untuk memberi kembali kepada masyarakat.
“Pemilihan penerima akan dilaksanakan secara bergilir setiap tahun bagi memastikan lebih banyak komuniti yang terjejas oleh aktiviti industri menerima manfaat daripada dana CSR tersebut.
Difahamkan, terdapat tiga syarikat yang menyumbang kepada Tabung Dana Amanah CSR JTS bagi program kali ini ialah Magna Focus Sdn. Bhd., Perfect Orchard Sdn. Bhd. dan Hollystone Quarry Sdn. Bhd.
Program CSR JTS ini dijangka akan diteruskan sebagai acara tahunan dengan fokus untuk memberi impak positif yang berterusan kepada komuniti di seluruh Sarawak.
Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Telang Usan, Norhidayah Hasbullah.
Oleh Adum Liu