

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini melupuskan pelbagai barang kes dadah dan racun bernilai RM1,471,837.24.
KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini melupuskan pelbagai barang kes dadah dan racun bernilai RM1,471,837.24.
Pelupusan dilakukan menggunakan kaedah rawatan termal (insinerator) di fasiliti Trienekens Sarawak Sdn. Bhd., Kuching Integrated Waste Management Park, di sini.
Pelupusan itu dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah dengan kerjasama syarikat bertauliah yang dilantik Polis Diraja Malaysia (PDRM).


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini melupuskan pelbagai barang kes dadah dan racun bernilai RM1,471,837.24.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua JSJN IPK Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah, yang memaklumkan ia melibatkan sebanyak 11,004 kes dari 2017 hingga 2024 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Kesemua kes itu membabitkan 23 daerah di negeri ini yang telah selesai siasatan serta perbicaraan di mahkamah.
Antara barang kes yang dimusnahkan termasuk serbuk ekstasi seberat 5,474.86 gram, syabu (9,739.45 gram), ganja (1,158.32 gram), pil Erimin 5 (1,190.07 gram), pil Nospan (7,445.00 gram), ketamin (267.70 gram), pil ekstasi (231.01 gram), dua liter air ketum dan 7,852 botol urin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato’ Mancha Ata dalam kenyataannya menegaskan, tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan polis membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. JSJN Sarawak akan terus memerangi ancaman ini demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.