Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • JSJN Sarawak berjaya sita dadah, harta rampasan bernilai lebih RM1.23 juta
  • JENAYAH

JSJN Sarawak berjaya sita dadah, harta rampasan bernilai lebih RM1.23 juta

Utusan Sarawak 1 week ago
TANGKAPAN… Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah (tengah) menunjukkan dadah jenis methamphetamine dan barangan sitaan bernilai lebih RM1.23 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Tebedu dan Kuching.

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM783,218 serta menyita pelbagai harta bernilai RM448,272.71 dalam dua serbuan berasingan di Tebedu, Serian dan Kuching baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pertama dilakukan pada 24 September lalu sekitar 2.45 petang di tepi Jalan KM 1 ICQS, Jalan Tebedu–Serian, apabila sepasukan polis dari IPD Serian menahan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas dadah methamphetamine dengan anggaran berat 20,611 gram yang dianggarkan bernilai RM783,218. Rampasan itu boleh digunakan oleh seramai 103,055 penagih dadah,” katanya di Pusat Media IPK, hari ini.

TANGKAPAN… Dadah jenis methamphetamine dan barangan sitaan bernilai lebih RM1.23 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Tebedu dan Kuching

Menurut beliau, susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 63 tahun dalam serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Jugah, Kuching, sekitar 5.50 petang pada 25 September lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita harta bernilai RM448,272.71 termasuk wang tunai RM19,350, wang tunai mata wang asing bernilai RM68,225.27, tiga bentuk cincin emas bernilai RM27,393.03, kepala tali pinggang emas bernilai RM28,304.41, seutas jam tangan jenama Rolex bernilai RM55,000 serta sebuah kereta Lexus RX300 bernilai RM250,000.

“Keseluruhan nilai dadah dan harta sitaan mencecah RM1,231,490.71. Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak awal 2024 dengan modus operandi mendapatkan bekalan dari Semenanjung Malaysia, dibawa masuk ke Sarawak menggunakan kapal terbang, sebelum dihantar kepada pembeli dengan bayaran upah RM5,000,” jelasnya.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama negatif dadah, manakala suspek kedua positif ketamin, benzo, Tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.

TURUT DISITA… sebuah kereta Lexus RX300 bernilai RM250,000 dalam serbuan tersebut.

Katanya lagi, suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau, manakala suspek kedua pernah mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari masing-masing bermula 25 September hingga 2 Oktober dan 26 September hingga 3 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Datuk Mohamad Zainal menegaskan, kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam, sekali gus membuktikan komitmen polis membanteras pengedaran dadah di negeri ini.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” tegasnya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Lima rekod kesalahan dadah, lelaki ditangkap dalam pemeriksaan di Lawas
Next: Geng pecah rumah Sungai Bian tumpas, suspek positif dadah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.