
KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengingatkan masyarakat bahawa rabies hanya boleh dicegah melalui vaksinasi dan rawatan segera, kerana penyakit itu tidak boleh dirawat apabila simptom sudah muncul.
“Rabies boleh dicegah sepenuhnya melalui vaksinasi. Tetapi jika sudah menunjukkan simptom, penyakit ini tidak boleh dirawat.
“Oleh itu masyarakat perlu segera mendapatkan rawatan sekiranya digigit anjing atau haiwan lain yang disyaki,” kata Pengarah JPVS, Datu Dr Adrian Susin Ambud ketika membaca teks ucapan mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada majlis penutupan Kursus Penguatkuasaan Veterinar Siri 1/2025 hari ini.
Beliau berkata, rabies masih kekal sebagai ancaman di Sarawak dengan 45 kes haiwan positif dilaporkan daripada 469 sampel diambil setakat tahun ini, manakala dua kematian manusia turut direkodkan.
Sehubungan dengan itu, program vaksinasi massa seterusnya dijadualkan berlangsung pada 20 September di Stadium MBKS sempena sambutan Hari Rabies Sedunia.
Sarawak juga akan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa Rabies di Borneo (RIB) pada 30 September ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), yang bakal menghimpunkan pakar dari rantau ini termasuk Indonesia, Brunei, Thailand dan Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penguatkuasaan ordinan kesihatan awam veterinar memainkan peranan penting dalam biosekuriti makanan dan kawalan penyakit.
“Penguat kuasa veterinar merupakan benteng penting dalam usaha kita mencapai sasaran jabatan.
“Kursus seperti ini perlu diteruskan bagi meningkatkan kecekapan pegawai, sekali gus memperkukuh imej jabatan dan keberkesanan pelaksanaan ordinan,” ujarnya lanjut.
Dr Adrian juga menjelaskan bahawa untuk membolehkan Sarawak diisytiharkan bebas rabies, negeri ini perlu mencatatkan sifar kes selama tiga tahun berturut-turut.
“Sekiranya tiga tahun berturut-turut tiada kes baharu, barulah status bebas rabies boleh diisytiharkan. Itulah sasaran kita menjelang tahun 2030,” katanya pada sidang media selepas majlis Kursus Penguatkuasaan Veterinar Siri 1/2025.
Beliau turut mendedahkan pecahan kes positif rabies tahun ini yang merekodkan 14 kes di Padawan, 12 di Kuching, sembilan di Bintulu, enam di Bau, serta masing-masing satu kes di Lundu, Asajaya dan Kapit.
Tambah beliau, trend kes tahun ini lebih baik berbanding sebelumnya berikutan peningkatan program vaksinasi.
“Selain anjing, kucing juga perlu divaksin dan haiwan peliharaan sebaiknya dimandulkan untuk mengawal populasi serta mengurangkan risiko penularan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pemilik haiwan tentang tanda-tanda utama rabies seperti haiwan menjadi agresif, mengeluarkan air liur berlebihan, enggan makan atau minum, dan biasanya akan mati dalam tempoh 10 hari selepas dijangkiti.
Oleh Adele Rissa