
PETRA JAYA: Majlis Ibadah Korban anjuran Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sarawak akan diadakan pada 8 Jun depan bertempat di Dewan Wisma Sabati, Kuching.
Setiausaha Kehormat MAKSAK Sarawak yang juga Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad berkata, sebanyak enam ekor lembu akan ditumbangkan sempena program tahunan tersebut yang menghimpunkan kira-kira 400 jemputan daripada kalangan warga jabatan dan kementerian di Kuching, termasuk wakil rakyat dari kawasan sekitar.
“Program ini bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, malah mencerminkan semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan penjawat awam negeri ini.
“Seperti biasa, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menjadi tetamu kehormat dan turut menyempurnakan agihan daging korban pada hari tersebut. Kesemua lembu akan dilapah dan diagihkan pada hari yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Program Hari Raya Korban 2025/1446H anjuran Jabatan Premier Sarawak dan MAKSAK Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Katanya, penganjuran program ini bertujuan memupuk budaya prihatin, kebersamaan dan penghayatan nilai-nilai murni sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Turut hadir Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Unit Pentadbiran JPS, Mohammad Nizam Wang serta KPP Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abang Ahmad Abang Julai. -UKAS