KENANGAN… Ir Lo Khere Chiang serta Wilfred Yap bersama ketua masyarakat telah membuat kunjungan hormat
ke atas Pengarah JPS Sarawak, Ahmad Denny, baru-baru ini.
KUCHING: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak diminta memberi perhatian dan segera menyiapkan kajian serta merangka sistem perparitan yang komprehensif bagi Skim Penempatan Semula Stampin, Taman Happy Valley dan kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, diharapkan dengan kajian, perancangan dan kos yang sewajarnya, JPS Sarawak dapat menyelesaikan masalah banjir kilat dengan mendapatkan dana pembangunan atau mengutamakan dan memperuntukkan penggunaan dana pembangunan tahunan daripada merajaan untuk pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf semua longkang sedia ada bagi menampung keperluan pembangunan kediaman bagi kawasan ini.
“Penduduk dari Skim Penempatan Semula Stampin dan Taman Happy Valley mengadu bahawa mereka menghadapi masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat dan masalah semakin teruk sejak kebelakangan ini.
“Saliran yang uzur dan teruk menyebabkan air hujan lebihan masuk ke anjung kereta mereka dan beberapa rumah masuk ke ruang tamu dan ini amat menyusahkan penduduk.
“Penduduk memaklumkan bahawa mereka sentiasa melaporkan isu banjir kilat ini kepada pihak berkuasa yang berkenaan tetapi masalah itu masih tidak dapat diselesaikan walaupun mereka telah membuat aduan,” katanya.
Sebagai langkah sementara, Wilfred Yap akan terus memantau keadaan bagi memastikan semua penyelenggaraan berkala yang diperlukan dilaksanakan dengan sempurna oleh pihak berkuasa yang berkenaan bagi mengurangkan isu banjir kilat di Skim Penempatan Semula Stampin, Taman Happy Valley dan kawasan sekitarnya.
“Saya akan komited dan akan terus berkhidmat sebagai mata dan telinga masyarakat setempat kita dan akan terus memberikan maklum balas daripada lapangan dan cuba menyelesaikan isu atau masalah kepentingan awam yang melibatkan komuniti yang tinggal di DUN Kota Sentosa,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Ir Lo Khere Chiang serta Wilfred Yap bersama ketua masyarakat baru-baru ini telah membuat kunjungan hormat ke atas Pengarah JPS Sarawak, Ahmad Denny.
Dalam agenda lawatan itu ialah perbincangan mengenai isu-isu yang membimbangkan berkaitan kesusahan banjir kilat yang sedang dihadapi oleh penduduk Skim Penempatan Semula Stampin dan Taman Happy Valley.
Oleh NUR AIN OTSMAN