KUCHING: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak diarah buat kajian keadaan longkang yang sedia ada, sama ada ia mampu menampung jumlah air hujan yang semakin meningkat atau tidak.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ini berikutan isi padu air hujan yang semakin meningkat terutama pada musim tengkujuh dan longkang yang dibina 50 tahun lalu mungkin tidak dapat menyalurkan peningkatan air hujan.
“Saya dapati agak sukar untuk memandu kerana hampir tidak nampak jalan disebabkan hujan yang luar biasa dan tidak dapat mengalir dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Pembelajaran Awam (CLC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di Balai Bomba Batu Lintang di sini, hari ini.
Dr Sim berkata arahan juga telah diberikan untuk membersihkan longkang daripada sampah-sarap.
Beliau juga mahukan supaya semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana luar jangka.
“Misalnya banjir yang melanda Semenanjung Malaysia awal tahun ini menyaksikan orang ramai menuding jari siapa yang harus dipersalahkan kerana tindakan menyelamat yang lambat.
“Kita tidak mahu Sarawak berada dalam keadaan seperti itu. Jika ia berlaku, kita mahu semua orang selamat dan meminimumkan kesusahan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak bersama-sama agensi persekutuan dan negeri sentiasa bersedia sedia dan bertindak terhadap sebarang krisis terutama banjir,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Keterangan gambar
Taklimat.. Pengarah Bomba Sarawak, Datu Khirudin Drahman memberi taklimat kepada Dr Sim selepaspelancaran Pusat Pembelajaran Awam Jabatan Bomba Negeri Sarawak di Balai Bomba Batu Lintang, Kuching hari ini. Gambar Herriey Naha.