MUKAH: Setakat ini, Sarawak masih bebas daripada aktiviti pengeboman ikan yang sering kedengaran di tempat lain, terutama negeri jiran, Sabah.
Justeru, pihak Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) berharap kerjasama masyarakat terutama komuniti nelayan untuk mengekalkan situasi berkenaan (bebas pengeboman ikan).
“Setakat ini, negeri Sarawak masih belum ada berlaku aktiviti pengeboman ikan seperti yang berlaku di negeri jiran kita. Dan kita difahamkan, ia melibatkan orang asing yang mempunyai kecenderungan dengan aktiviti yang memudaratkan itu,” kata pengarah JPLS, Bohari Leng.
Ujarnya, aktiviti pengemboman ikan itu bukan hanya dilakukan di laut dan malah juga di sungai-sungai dan akibatnya memang amat dahsyat.
“Justeru, kita juga dengan tegas melarang komuniti kita untuk meracun atau menuba ikan di sungai-sungai. Kemusnahan memang sama juga seperti aktiviti pengeboman yang menjejaskan kehidupan di dalamnya termasuk ekosistem secara keselurahnya.
Kadang-kadang kita fikir kalau ini berlaku di sungai ia akan melibatkan kehidupan di sana sahaja, walhal, ia berkaitan dengan satu sama lain terutama dari segi rantaian makanan, ikan bergantung kepada dengan udang dan ikan besar dengan ikan kecil dan sebagainya, begitu juga dengan di sungai dan di laut,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program EAFM (ecosystem approach to fisheries management) Jabatan Laut Sarawak Bersama Komuniti Perikanan Mukah pada petang Jumaat (11 September).
Oleh demikian, tambahnya, pihak berkuasa menetapkan kawasan tertentu untuk nelayan pukat tunda atau di kawasan laut dalam dan nelayan pesisir di zon sendiri untuk menjagakan kelestarian ekosistem.
Selain daripada aktiviti menangkap ikan, ujarnya, kemusnahan ekosistem juga adalah ekoran pelbagai aktiviti manusia seperti mengorek pasir, pencemaran dan sebagainya.
“Untuk menjaga kazanah atau sumber laut termasuk sungai memang sangat kompleks atau bukan mudah kerana kita tidak boleh nampak. Malah, untuk menjaga kazanah seperti hutan atau kayu balak
lebih mudah kerana kita boleh lihat kerosakan dengan mata dan apa yang perlu kita lakukan. Begitu juga dengan harta kita seperti premis, kita boleh pagarkannya untuk menghalang orang masuk,” kata beliau lagi.
Dan pengetahuan mengenai ekosistem dan habitat termasuk alam sekitar, kata Bohari, adalah amat penting di dalam usaha untuk menguruskan kazanah kita yang tidak ternilai ini.
“Pengurusan perikanan melalui EAFM merupakan hala tuju baharu dalam pengurusan perikanan melalui pengelolaan atau pengurusan perikanan dengan ekosistem dengan meliputi beberapa aspek antaranya habitat, sumber daya perikanan, ekonomi dan sosial masyarakat,” katanya.
Difahamkan EAFM menyediakan suatu kaedah yang bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga kemapanan ekosistem perikanan pada jangka masa panjang.
“Saya berharap peserta memperolehi sesuatu mengenai perkara tersebut dan boleh berkongsi dengan mereka di kawasan masing-masing apa yang diperolehi sepanjang dua hari di sini. Seperti mana yang kita sedia maklum peserta pada kali ini tidak seramai yang diadakan pada tahun lalu di Mukah ini kerana bagi mematuhi SOP yang ditetapkan. Dan anda adalah bertuah kerana yang terpilih,” kata Bohari lagi.
Pada masa sama, Bohari juga menyatakan pihak mereka akan menambah jumlah tukun tiruan di perairan di sebelah sini pada tahun hadapan untuk menambahkan hasil lautnya.
Program tersebut diadakan di Kingwood Hotel Mukah dan disertai seramai 20 peserta yang terdiri daripada Ketua Jaringan Perikanan dan nelayan dari Kpg Oya, Kpg Penipah, Kpg Penat, Kpg Litong, Kpg Jebungan dan Kpg Sungai Alo.
Antara aktivitinya, penerangan profil Perikanan Mukah, Laporan Konsultasi EAFM Mukah dan perbincangan kumpulan dan pembahagian kumpulan, penerangan kawasan tukun & terumbu karang di kawasan Penipah, pembentangan kertas kerja daripada setiap kumpulan, peluang dan kekangan bagi mencapai matlamat (analisis SWOT) & pembentangan kertas kerja dan taklimat spesies terancam.
Program dua hari yang bermula 10 hingga 11 September itu adalah anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS).
Oleh Henry B Siyu