
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengambil tindakan segera susulan penularan video yang memaparkan sebuah kenderaan jabatan didakwa memotong di garisan berkembar, satu kesalahan serius dalam peraturan lalu lintas.
Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili telah mengadakan satu perjumpaan khas bersama seluruh anggota penguatkuasa serta pemandu kenderaan jabatan di Kompleks JPJ Sarawak hari ini.
Langkah itu bertujuan memberi peringatan dan amaran keras terhadap sebarang pelanggaran undang-undang oleh warga jabatan sendiri.
Menurut Norizan, perjumpaan tersebut mencerminkan prinsip bahawa tiada sesiapa pun, termasuk kakitangan penguat kuasa, berada di atas undang-undang.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan yang melanggar peraturan jalan raya akan dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya terbukti bersalah.
“Ini bukan soal simbolik semata-mata, tetapi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak mengamalkan dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setiap operasi JPJ didahului dengan sesi taklimat (roll-call) dan pengagihan tugasan secara profesional bagi memastikan segala pelaksanaan tugas berjalan dengan lancar, berdisiplin dan mengikut prosedur.
JPJ Sarawak menegaskan komitmen untuk mengekalkan integriti penguatkuasaan di tahap tertinggi dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, khususnya yang membabitkan keselamatan pengguna jalan raya.
Norizan menambah, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden tular tersebut dan tindakan lanjut akan diambil mengikut hasil siasatan.