KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menamatkan pengoperasian kaunter hujung minggu bagi urusan permohonan Program BUDI Diesel yang dilaksanakan dari 4 Julai hingga 26 Julai lalu.
Dalam kenyataan hari ini, JPJ Sarawak memaklumkan penamatan operasi berkenaan susulan tamatnya tempoh pelaksanaan perkhidmatan khas yang diwujudkan pada hujung minggu bagi memudahkan orang ramai mengemukakan permohonan di bawah program tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan JPJ termasuk urusan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) disaran hadir ke mana-mana pejabat JPJ atau Pejabat JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) berhampiran mengikut waktu operasi yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan bertujuan memastikan pelanggan terus mendapat akses kepada perkhidmatan JPJ dengan lebih mudah dan lancar menerusi saluran operasi sedia ada.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, kaunter khas berkenaan beroperasi setiap Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang bagi negeri-negeri termasuk Sarawak, manakala di Kelantan, Terengganu dan Kedah, perkhidmatan disediakan pada Jumaat dan Sabtu pada waktu sama.
Perkhidmatan tersebut ditawarkan di Pejabat JPJ Negeri menerusi Kaunter Bahagian Pelesenan Kenderaan, Pejabat Cawangan JPJ serta Pejabat JPJ UTC bagi urusan permohonan Program BUDI Diesel.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh pengoperasian kaunter hujung minggu berkenaan.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan perkhidmatan yang cekap, efisien dan mesra pelanggan bagi memenuhi keperluan masyarakat.




