KOTA SAMARAHAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melaksanakan pemantauan mengejut terhadap aktiviti pemeriksaan kenderaan di luar premis Puspakom di sini, hari ini.
Pemantauan oleh Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ itu diketuai Penolong Jurutera Kanan Tertinggi, Diwong Sidep bersama Penolong Jurutera Kanan, Rajauddin Aselam.
Ia memberi tumpuan khusus kepada pemeriksaan kenderaan dan jentera berat luar jalan (off-road) yang menghadapi kekangan untuk dibawa ke pusat pemeriksaan Puspakom.
Kemudahan pemeriksaan di luar premis disediakan Puspakom bagi kenderaan atau jentera berat berkenaan, termasuk Pemeriksaan B2 bagi tujuan pertukaran hak milik.

Menurut JPJ Sarawak, pemantauan itu bertujuan memastikan setiap pemeriksaan di luar premis dilaksanakan mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.
Antara aspek diberi perhatian ialah kaedah pemeriksaan, pengesahan identiti kenderaan, pematuhan skop pemeriksaan serta tatacara merekod dan menentukan keputusan pemeriksaan.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap keputusan pemeriksaan dibuat secara telus, tepat dan berintegriti, sekali gus memelihara keyakinan masyarakat terhadap sistem pemeriksaan kenderaan.
JPJ Negeri Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pemantauan dan pematuhan terhadap prosedur ditetapkan demi keselamatan serta kepentingan pengguna jalan raya.





