

BAKO: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit Timbang Mudah Alih melaksanakan Ops Khas Kenderaan Perdagangan dengan menjalankan penguatkuasaan rondaan dan pemantauan di sekitar bandar raya Kuching, selain operasi statik di Jalan Keruing dan Jalan Bako.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan perdagangan, sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 53 kenderaan, melibatkan kenderaan perdagangan dan persendirian, telah diperiksa.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya membawa muatan berlebihan, cukai jalan tamat tempoh, pelanggaran syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta pelbagai kesalahan lain berkaitan aspek teknikal kenderaan.
JPJ Sarawak menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi dan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan sebagai langkah proaktif meningkatkan tahap pematuhan undang-undang, sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.