SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu mengambil tindakan ke atas 40 kenderaan menerusi Ops Silau yang dijalankan di Jalan Oya, malam semalam.
Tindakan diambil akibat mengenakan lampu jenis Light Emitting Diode (LED) dan High Intensity Discharge (HID) secara retrofit mengakibatkan silau kepada pemandu lain.
Ketua Cawangan JPJ Sibu, Mohamad Faizal David Jemat berkata, kenderaan-kenderaan berkenaan telah dikeluarkan notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengarahkan menukar lampu kepada lampu asal yang dipasang dari kilang.
Di bawah seksyen tersebut, tegasnya, mana-mana pemilik yang gagal berbuat demikian dalam tempoh 10 hari dari tarikh notis dikeluarkan akan dikenakan saman kerana gagal patuhi notis.
“Kenderaan yang dipasang lampu hadapan jenis HID turut dikeluarkan notis sama berserta notis larangan penggunaan kenderaan dan dikenakan saman.
“Apabila sudah ditukar kepada lampu asal (seperti yang dipasang dari kilang) pemilik perlu segera membawa kenderaan mereka dengan kadar segera ke kaunter JPJ berhampiran bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan.
“Sekiranya pemilik gagal berbuat demikian dalam tempoh 10 hari yang telah ditetapkan mereka akan dikenakan saman atas kesalahan gagal mematuhi notis tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan memasang lampu LED dan HID secara retrofit merupakan kesalahan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan kegunaan) 1959 dan boleh didenda di bawah Seksyen 119(1) APJ 1987 sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
“Kita menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung banyak kenderaan di kawasan bandar mengenakan lampu putih yang menjejaskan penglihatan pemandu-pemandu lain.
“Ini mengundang bahaya kepada pemandu itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.
Katanya lagi, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Selain operasi harian bagi menimbulkan kesedaran kepada pemilik-pemilik kenderaan di bandar ini supaya tidak mengubahsuai kenderaan yang melanggarkan undang-undang sehingga membahayakan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain.
Menerusi operasi malam semalam, beliau berkata, sebanyak 56 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.
Ujarnya lagi, pemilik kenderaan adalah disarankan untuk merujuk Unit Kejuruteraan Automotif JPJ sebelum membuat pengubahsuaian ke atas kenderaan masing-masing mereka bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Oleh AKUN GIMAN