
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu beralih kepada pendekatan baharu dalam pelaksanaan sekatan jalan raya bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata kaedah sekatan jalan raya secara fizikal atau roadblock yang dilaksanakan ketika ini sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, khususnya apabila lorong jalan dikecilkan kepada satu atau dua lorong, sekali gus menyebabkan gangguan trafik dan masa menunggu yang panjang.
Loke berkata satu paradigma baharu yang boleh dilaksanakan adalah berteraskan pengintegrasian data serta penggunaan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), yang membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan tanpa perlu memberhentikan kenderaan di jalan raya.
“Saya tak nak tengok JPJ buat sekatan jalan selepas orang masuk tol. Enam lorong jadi satu lorong, orang marah, ini pendekatan lama. Jadi JPJ juga kena ada perubahan. Kita menggunakan cara yang pintar.
“Dengan teknologi yang ada hari ini, kita integrasikan sistem ANPR (yang dikendalikan) PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) dengan sistem kita JPJ My Sikap,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Sistem ANPR adalah mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.
Loke berkata integrasi tersebut bukan sahaja memudahkan proses kutipan tol, malah membolehkan pihak berkuasa mengesan status cukai jalan, perlindungan insurans serta mengenal pasti kenderaan curi atau tidak berdaftar secara automatik.
“Melalui perkongsian data antara agensi, kita dapat memastikan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan berkesan, tanpa perlu melaksanakan sekatan jalan raya secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan konsep pendekatan menyeluruh yang menekankan kerjasama merentas kementerian dan agensi, selain usaha memecahkan silo operasi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Pada sidang media kemudian, Loke berkata cadangan untuk mengehadkan kemasukan motosikal ke lebuh raya perlu dibincangkan secara praktikal dan teliti bagi menilai keberkesanan serta kesan terhadap pengguna lain sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ada macam-macam cadangan yang dikemukakan termasuk daripada pengendali lebuh raya PLUS, tetapi sama ada ia praktikal atau tidak, itu yang perlu dilihat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan supaya pergerakan motosikal di lebuh raya dihadkan mengikut masa atau kapasiti tertentu terutamanya di waktu puncak susulan kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang meningkat dengan ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini. – Bernama