KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak menganjurkan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang melibatkan 16 kakitangan ZHA Environmental Sdn. Bhd., hari ini.
Ceramah keselamatan jalan raya disampaikan oleh Puan Muhai Mohamed dari Unit Keselamatan Jalan Raya JPJ Sarawak yang memberi penekanan terhadap tema “Pergi dan Balik dengan Selamat”.
Beliau turut mendedahkan peserta kepada aspek pematuhan undang-undang jalan raya, pemanduan berhemah serta langkah-langkah pencegahan kemalangan ketika berada di jalan raya.
Program diteruskan dengan simulasi penjagaan motosikal dan kuiz berkaitan keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kefahaman serta kesedaran peserta terhadap amalan keselamatan di jalan raya.
Turut hadir mewakili Perkeso Sarawak ialah Shamshulbahri Rahmat dan Azhar Sulaiman.
Menurut JPJ Sarawak, program advokasi seumpama itu merupakan antara usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti dan warga pekerja, sekali gus menyokong agenda melahirkan pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab serta membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Perkeso Sarawak dan ZHA Environmental Sdn. Bhd. atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan program tersebut.



