
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Miri telah melaksanakan satu program ujian saringan air kencing yang melibatkan penyertaan menyeluruh daripada seluruh warga kerja jabatan.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak hari ini, program saringan ini merangkumi pegawai, anggota dan kakitangan dari JPJ Miri, Stesen Penguat Kuasa Skaloh serta JPJ UTC Miri.
Pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan aspirasi jabatan untuk memperkukuhkan budaya kerja berintegriti tinggi, mempertingkatkan disiplin dan memastikan persekitaran kerja yang bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan dadah.
Inisiatif ini juga merupakan langkah pencegahan yang proaktif dalam mendidik warga kerja tentang pentingnya menjunjung etika dan nilai profesionalisme dalam perkhidmatan awam.
Turut hadir semasa pelaksanaan program tersebut ialah Ketua Cawangan JPJ Miri, Fifi Suhesty Asmuni yang turut menyatakan penghargaan kepada pihak AADK Miri atas kerjasama strategik ini.
Sehubungan itu, JPJ Cawangan Miri akan terus komited untuk memperkukuh nilai integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam kalangan seluruh warga kerja sejajar dengan prinsip tatakelola yang baik dan budaya kerja cemerlang yang berteraskan kepercayaan rakyat dan amanah negara.
Oleh Adum Liu