
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri telah melaksanakan Operasi Khas Gempur kenderaan perdagangan melalui rondaan pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar bandar Miri bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pemandu serta pengusaha kenderaan perdagangan.
Sepanjang operasi pada 25 November lalu, sebanyak 240 kenderaan perdagangan telah diperiksa, meliputi pemeriksaan dokumen, cukai jalan, insurans, lesen memandu serta aspek teknikal kenderaan.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu CDL, tiada lesen memandu GDL, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta beberapa ketidakpatuhan teknikal yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya menegaskan bahawa pematuhan peraturan adalah tanggungjawab penting setiap pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan.

Kegagalan memastikan dokumen sah serta penyelenggaraan kenderaan berada dalam keadaan baik boleh menyebabkan risiko kemalangan dan membahayakan keselamatan awam.
Operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara dan tahap kepatuhan undang-undang terus dipertingkatkan.
Oleh Adum Liu