
MIRI: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan palsu berkaitan permohonan lesen memandu secara percuma yang kini berleluasa di beberapa platform media sosial.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, pihaknya telah mengesan beberapa akaun media sosial yang mengiklankan perkhidmatan permohonan lesen memandu secara percuma tanpa mematuhi syarat-syarat yang sah di sisi undang-undang.
“JPJ menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai iklan seumpama itu, dan tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan pengguna lain,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah JPJ, semua urusan berkaitan permohonan lesen memandu perlu dilakukan melalui Institut Memandu (IM) yang berdaftar dan diiktiraf oleh JPJ sahaja.
“Pastikan setiap urusan pemilikan lesen memandu adalah sah, berdaftar, dan tidak melibatkan pihak ketiga yang tidak bertauliah,” tegas JPJ lagi.
Oleh Adum Liu