
KUCHING: Pihak Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggalakkan orang awam membuat aduan mengenai kesalahan lalu lintas, terutamanya tindakan berbahaya seperti pemandu melakukan pusingan ‘P’ yang sering menyebabkan kemalangan,
Semua aduan boleh dikemukakan melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau melalui e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan disertakan maklumat lengkap.

Sehubungan itu, Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan JPJ Sarawak sempena sambutan Perayaan Gawai 2025 telah berjaya dilaksanakan di Terminal Bas Kuching Sentral, malam ini.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, serta Setiausaha Persekutuan, Datuk Ahmad Nadzri.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan JPJ Sarawak dalam mendidik pengguna jalan raya serta memastikan keselamatan pengangkutan awam menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.
Melibatkan penyertaan aktif unit operasi JPJ, inisiatif ini menekankan aspek advokasi dan penguatkuasaan, termasuk pemeriksaan teknikal ke atas bas di tiga terminal utama negeri iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.
“Kesiapsiagaan kenderaan pengangkutan awam adalah antara keutamaan dalam program ini, bagi menjamin keselamatan penumpang. Pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan dan pemandu termasuk semakan rekod kesalahan lalu lintas serta ujian air kencing turut dilakukan,” ujar Norizan.
JPJ Sarawak juga melaksanakan Ops Gawai 2025 yang bermula 24 Mei hingga 31 Mei 2025, diikuti dengan Ops Khas Hari Raya Aidiladha dari 4 Jun hingga 10 Jun 2025 yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh perayaan.
Dalam tinjauan media, pengguna pengangkutan awam menyambut baik usaha JPJ.

Jessie, yang dalam perjalanan pulang ke Sarikei, menyatakan rasa selamat menggunakan perkhidmatan bas berikutan pemeriksaan berkala yang dijalankan pihak berkuasa.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Daniel, merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pembangunan rangkaian Lebuh Raya Pan Borneo yang disifatkannya sebagai efisien dan menyenangkan perjalanan pulang ke kampung sempena Gawai.
Oleh Norman B.