KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan El Niño yang semakin kuat serta cuaca panas dan kering berpanjangan, termasuk risiko penyusutan paras air empangan di negeri ini.
Menurut kenyataan media Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi JPBNS, hari ini, satu mesyuarat penyelarasan khas diadakan bersama agensi berkaitan dan semua Pejabat Residen menerusi Zoom bagi menyelaras langkah kesiapsiagaan serta mitigasi lebih awal.
Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan El Niño di Sarawak semakin ketara antara Oktober hingga Disember tahun ini dan berkemungkinan berterusan sekurang-kurangnya sehingga April 2027.
“Tinjauan terkini El Niño-Southern Oscillation (ENSO) menunjukkan El Niño kini berada pada intensiti sederhana, namun berpotensi tinggi mencapai tahap kuat atau ‘Super’ El Niño antara September 2026 hingga Januari 2027,” katanya.
Menurutnya, taburan hujan di kawasan barat daya Sarawak turut dijangka berada di bawah paras purata antara Oktober hingga Disember ini.
Sementara itu, JPBNS bersama agensi berkaitan mengambil langkah proaktif lebih awal bagi mengurangkan kemungkinan kesan cuaca kering berpanjangan dan penyusutan paras air tanpa menunggu keadaan menjadi krisis.
Dalam pada itu, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan pada 11 dan 12 Mei, 19 dan 20 Jun serta 21 Jun lalu dilaporkan memberi kesan positif terhadap paras air empangan.
Berikutan jangkaan cuaca kering, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memohon supaya operasi pembenihan awan dilaksanakan lagi apabila keadaan cuaca mengizinkan.
MetMalaysia kini menilai kesesuaian keadaan cuaca dengan tempoh 3 hingga 5 September dikenal pasti sebagai antara waktu berpotensi untuk operasi berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan mengenainya akan ditentukan menerusi mesyuarat susulan pada 1 September berdasarkan keadaan cuaca semasa.
Sementara itu, sebanyak 287 titik panas direkodkan di Sarawak sejak Januari tahun ini dengan 171 daripadanya dicatatkan sepanjang Ogos.
Di Kalimantan pula, sebanyak 11,364 titik panas direkodkan sejak Januari, termasuk 8,989 sepanjang Ogos sahaja, dengan peningkatan aktiviti titik panas dikaitkan dengan keadaan cuaca panas dan kering.
JPBNS berkata, aktiviti titik panas, arah angin dan taburan hujan akan terus dipantau kerana faktor berkenaan mempengaruhi keadaan jerebu.
Bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan JBALB akan terus menyalurkan bantuan air kepada komuniti terjejas apabila diperlukan.
JPBNS turut bersetuju menubuhkan Pasukan Operasi Khas di Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi memantau dan menyelaras secara berterusan kesan penyusutan paras air di seluruh Sarawak.
Semua Pejabat Residen menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian serta agensi berkaitan juga diminta menyemak kesiapsiagaan masing-masing termasuk bekalan air, logistik dan sumber bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.
Dalam perkembangan berasingan, JPBNS menjelaskan pihaknya tidak membatalkan Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1448H/2026M seperti yang didakwa.
Menurut kenyataan itu, arahan berkaitan sambutan berkenaan dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) pada 21 Ogos lalu yang tidak membenarkan aktiviti luar sempena Maulidur Rasul di seluruh Sarawak susulan keadaan jerebu serta mengambil kira nasihat kesihatan dan keselamatan.
Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak melarang semua aktiviti Maulidur Rasul dengan Majlis Kesyukuran di masjid dan surau masih boleh diadakan tertakluk kepada keadaan setempat serta nasihat pihak berkuasa berkaitan.
JPBNS menegaskan sebarang laporan atau dakwaan bahawa pihaknya membatalkan Sambutan Maulidur Rasul di seluruh Sarawak adalah tidak tepat.
Pada 22 Ogos lalu, JPBNS hanya mengumumkan pembatalan tiga acara negeri iaitu Program Sarawak Ku Sayang di Mukah pada 28 hingga 30 Ogos, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Kapit pada 30 hingga 31 Ogos serta Sambutan 100 Tahun Rumah Mendit Penom, Spaoh pada 1 September.
JPBNS akan terus memantau keadaan cuaca, paras empangan dan sumber air, titik panas, jerebu serta perkembangan El Niño selain menyelaras langkah pencegahan dan pelan kontingensi bersama semua agensi berkaitan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.





