KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) tidak akan membuat sebarang laporan palsu berkenaan dengan Covid-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian (gambar) berkata, adalah menjadi tanggungjawab JPBNS untuk memastikan keselamatan dan kesihatan warga Sarawak dijamin dan terjaga.
Apabila dihubungi Utusan Sarawak, Dr. Sim berkata, sesetengah pihak menyoal data yang dilaporkan dan tiada pengumuman dibuat untuk kes-kes yang dikuarantin di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Tidak ada alasan untuk JPBNS untuk tidak mengumumkan keputusan untuk saringan yang dibuat kerana kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk tujuan ini dan mengambil langkah membendung wabak ini.
“Kes PUI bukan bermaksud mereka adalah positif. Ia Cuma satu langkah berjaga-jaga yang diambil,” kata Dr. Sim.
Beliau berkata, ramai yang tidak faham dengan kaedah yang diambil oleh pihak berkuasa.
“Sekiranya seseorang itu disyaki mempunyai virus tersebut, pihak berkuasa akan dengan segera mengambil tindakan untuk seseorang itu dikuarantin dan tidak akan menunggu keputusan diagnosis,” kata beliau.
Beliau berkata, adalah lambat untuk menunggu keputusan sebelum seseorang itu dipinggirkan.
“Jadi, apabila terdapat kes berlaku di sekolah, maka pihak berkuasa akan dengan segera meminta emua pelajar untuk dipinggirkan.
“Ada yang akan dihantar ke hospital untuk dikuarantin untuk diberi pemerhatian,” tambah Dr. Sim.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak bimbang dengan khabar angin mengenai laporan palsu yang dibuat oleh JPBN.