LIMBANG: Berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 merupakan cabaran terbesar dihadapi Sarawak sejak setahun lalu.
Setelah genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan untuk menangani virus itu di negara ini menyaksikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berjaya membukti keupayaan dalam berdepan berbagai isu berkait dengan pandemik Covid-19.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak bersyukur kerana mempunyai kuasa autonomi yang membolehkan Sarawak melaksana dan membuat keputusan PKP, PKPB (Bersyarat) dan PKPP (Pemulihan) mengikut kesesuaian keadaan Sarawak.
“Covid-19 merupakan satu cabaran besar di hadapi di Malaysia dan Sarawak dan kita mengucapkan tahniah kepada JPBNS kerana menjalankan tugas dengan baik walaupun telah genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan di negara ini, ” katanya ketika ditanya media pada sidang media sempena lawatannya ke Limbang semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Utiliti, Dato Sri Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi .
Pada masa sama, Abang Johari menjelaskan semalam, angka jangkitan Covid-19 masih dalam keadaan membimbangkan dengan angka tiga digit untuk kes jangkitan baharu.
Justeru, beliau menggesa kerjasama orang ramai khususnya rakyat Sarawak untuk bersama menangani penularan virus ini terutamannya jangkitan komuniti.
Jelasnya, di Sibu Jaya misalnya, bangunan flat yang disewa menyebabkan masyarakat yang menyewa berulang alik dan membawa virus terbabit.
“Oleh itu, kita menggesa komuniti agar memberi kerjasama, berdisiplin dan saya bersama rakan-rakan lain memang memberi perhatian untuk menangani virus ini.
“ Walaupun ada vaksin, kita perlu terus hidup mengikut norma baharu dan program pemvaksinan ini akan diteruskan, malah Sarawak tidak ada masalah, dari segi vaksinasi,yang penting kita jaga kita,” tambahnya.
Terdahulu, Abang Johari mengadakan lawatan ke Tapak Projek Jambatan Sungai Limbang/ Sungai Bunut No. 2, Loji Rawatan Air Berawan dan Rumah Rehat Kerajaan untuk mendengar taklimat pembangunan projek kerajaan di Limbang.
Ketua Menteri jelas mengambil berat berbagai program pembangunan di serata Sarawak dan sentiasa turun padang bagi memastikan perlaksanaan projek rakyat ini berjalan dengan lancar.
Budaya turun padang dalam kalangan pemimpin Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ternyata sentiasa mendapat perhatian rakyat kerana amalan itu membolehkan interaksi dan hubungan secara langsung dengan rakyat di akar umbi dapat disuburkan secara berterusan.
Oleh ADENG EDRUS