
SIMANGGANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman hari ini menyerahkan dua bot sumbangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kepada Pejabat Daerah Sri Aman dan Pejabat Daerah Lingga sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, penyerahan aset tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan operasi penyelamatan dan memudahkan proses pemindahan mangsa banjir ke kawasan selamat sekiranya berlaku bencana.
“Penyerahan bot ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan setiap daerah di bawah pentadbiran Bahagian Sri Aman mempunyai aset logistik yang mencukupi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim tengkujuh,” katanya pada majlis penyerahan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sri Aman, pagi tadi.

Majlis simbolik penyerahan aset tersebut turut dihadiri wakil Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Ramon Addy, yang menyampaikan ucapan bagi pihak pentadbiran bahagian.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani; wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Ramon Addy; serta wakil daripada Pejabat Daerah Pantu, Lubok Antu dan Engkilili, bersama-sama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan terlibat.
Kamal menambah, aset yang diserahkan oleh JPBNS itu akan diselaraskan penggunaannya di peringkat daerah bagi mempercepatkan respon semasa bencana dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
Beliau turut menyeru agar semua agensi di bawah jawatankuasa pengurusan bencana daerah meningkatkan koordinasi dan kesiapsiagaan, khususnya apabila amaran cuaca buruk dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Oleh Adi Safarman