KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memantau rapat situasi jerebu di seluruh Sarawak, khususnya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian yang mencapai 334, iaitu kategori berbahaya, setakat 10.00 pagi hari ini.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata bacaan IPU di Serian akan dipantau dalam tempoh tiga hari bagi mengesan sebarang turun naik, termasuk kemungkinan meningkat melebihi paras 500.

Menurutnya, bacaan IPU dipengaruhi antaranya oleh arah angin dan sumber titik panas, selain keadaan cuaca serta pergerakan jerebu turut dipantau bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Pemantauan ini akan dilakukan sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Premier Sarawak dan Perdana Menteri berhubung status kecemasan di Serian,” katanya menerusi kenyataan JPBNS hari ini.
Dalam pada itu, pejabat kerajaan dan swasta serta tempat kerja lain termasuk sektor industri, perladangan, pembinaan dan kuari masih boleh meneruskan operasi dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kesihatan.

Orang ramai dinasihatkan mengelakkan aktiviti luar. Sekiranya perlu berada di luar, mereka disaran memakai pelitup muka N95 atau sekurang-kurangnya pelitup muka tiga lapis.
Kanak-kanak, warga emas dan golongan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu turut diminta diberi perhatian khusus.
JPBNS akan terus memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan, selain menyalurkan perkembangan lanjut sekiranya perlu.




